D M janji teliti keputusan sambung lesen Lynas

SEPANG: Dr Mahathir Mohamad berjanji akan meneliti semula keputusan memperbaharui lesen operasi Lynas selama 6 bulan, susulan bantahan sesetengah pihak yang mahu kilang nadir bumi itu ditutup.

Perdana menteri berkata, beliau memahami sentimen itu walaupun kerajaan baru melanjutkan lesen operasi Lynas semalam.

“Meskipun Lynas dalam siasatan dan mereka isytihar tidak bahaya lagi, tetapi sudah tentu ada pihak tidak menyenanginya. Kita akan lihat perkara itu,” katanya selepas melawat ibu pejabat AirAsia RedQ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 hari ini.

Semalam, Agensi Perlesenan Tenaga Atom di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengumumkan lesen operasi Lynas dilanjutkan 6 bulan bersama 3 syarat, lebih pendek daripada kebiasaan 3 tahun.

Syarat pertama ialah membina kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara dalam masa 4 tahun daripada tarikh lesen diperbaharui dan ia tidak boleh menghasilkan sisa radioaktif melebihi 1 becquerel per gram di Gebeng selepas itu.

Syarat kedua ialah mengenal pasti tapak pembinaan PDF dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri, serta mengemukakan kebenaran rasmi bertulis daripada pihak berkuasa negara lain untuk membawa keluar sisa WLP ke negara terbabit.

Syarat ketiga ialah menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan penggunaan semula sisa WLP sebagai “Condisoil” dalam bidang pertanian serta 0.5% hasil jualan kasar tahunan untuk R&D diserahkan kepada Putrajaya sebagai cagaran tambahan sehingga kemudahan “Cracking and Leaching” di luar negara mula beroperasi.

Susulan itu, Lynas hari ini dilaporkan berkata, ia yakin boleh mematuhi syarat ditetapkan kerajaan kerana kerajaan Pahang sudah memberi kelulusan bertulis untuk pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze dilaporkan berjanji akan mempercepatkan pembinaan PDF itu dan beliau yakin Lynas boleh mendapat kebenaran negara lain untuk menerima sisa WLP berkenaan.

Dalam pada itu, Mahathir berkata himpunan anti-Lynas pada Ahad, yang merancang membakar manifesto Pakatan Harapan (PH) sebagai tanda kerajaan gagal menunaikan janji, tidak akan menyelesaikan masalah.

Perdana menteri berkata kerajaan berurusan secara rasional untuk membenarkan kilang pemprosesan nadir bumi itu terus beroperasi.

“Walaupun Lynas sudah isytihar kilang mereka selamat, tapi masih ada penduduk yang tidak setuju,” katanya.

Perhimpunan “818” bersempena tarikh hari tunjuk perasaan itu akan diadakan di Taman Gelora, Kuantan.