Di sebalik keunikan warna rambut mengikut sains

Pada asasnya, rambut kita mempunyai warna yang putih.

Namun ia diberikan warna ataupun pigmentasi hasil daripada kewujudan kompaun melanin yang dihasilkan oleh sel-sel khusus iaitu sel-sel melanocyte.

Apa yang cukup menarik berkaitan dengan pembentukan melanin ini adalah ia telahpun bermula sebelum seseorang itu dilahirkan.

Perbezaan warna semula jadi rambut seseorang itu bergantung kepada taburan, jenis, kadar dan juga kuantiti melanin yang terdapat dalam bahagian tengah korteks rambut atau batang rambut.

Folikel rambut manusia boleh mengandungi dua jenis kompaun melanin iaitu eumelanin dan juga pheomelanin.

Dalam spesies manusia, terdapat pelbagai warna rambut semula jadi yang unik. Warna-warni semula jadi ini termasuklah warna hitam, perang muda (blonde), warna merah, warna perang ataupun warna putih.

Di antara warna-warna tersebut, terdapat variasi dalam kepekatan dan juga tona warna.

Dalam bidang antropologi fizikal, variasi tona warna rambut ini diukur menggunakan skala Fischer-Saller, dibangunkan oleh Eugen Fischer dan juga Karl Saller.

Skala ini menggunakan beberapa huruf dan juga angka roman. Berikut merupakan pengelasan tona warna rambut berdasarkan skala tersebut:

A – Warna perang muda yang sangat terang/halus

B hingga E – Warna perang muda terang/halus

F hingga L – Warna perang muda

M hingga O – Warna perang muda yang pekat/gelap

P hingga T – Warna perang terang/halus

U hingga Y – Warna perang gelap/hitam

I hingga IV – Warna merah

V hingga VI – Warna merah dan perang muda

Rambut berwarna hitam merupakan warna rambut yang paling lazim dan warna yang paling gelap.

Jelasnya, rambut warna ini mempunyai kandungan eumelanin yang sangat tinggi.

Bagi mereka yang mempunyai rambut berwarna perang pula, kadar eumelanin mereka adalah lebih tinggi sedikit berbanding paras pheomelanin.

Variasi yang terdapat dalam tona warna rambut yang perang termasuklah rambut chestnut (mirip warna buah berangan) dan juga warna auburn (warna coklat kemerah-merahan).

Warna rambut chestnut adalah tona rambut perang yang lebih merah manakala dalam rambut auburn, tona merah pada rambut perang tersebut adalah lebih gelap.

Rambut chestnut lazimnya dilihat penduduk asli di kawasan Eropah Tengah dan Eropah Timur.

Rambut perang muda atau lebih dikenali sebagai blonde, boleh mempunyai apa jua kadar pheomelanin kepada eumelanin tetapi jumlah kedua-kedua kompaun melanin tersebut berada pada kuantiti yang sedikit.

Rambut merah pula diturunkan kepada keturunan seterusnya secara resesif dan ia dipengaruhi oleh variasi dalam gen Mc1r.

Rambut merah mempunyai kandungan pheomelanin yang paling tinggi dan lazimya dijumpai dalam kumpulan penduduk asli di kepulauan Britain.

Rambut kelabu atau putih pula disebabkan kekurangan atau ketiadaan pigmen dalam folikel rambut.

Perubahan warna rambut kepada warna kelabu atau putih adalah fenomena yang kerap dilihat dengan peningkatan umur dan disebut sebagai achromotrichia.

Namun terdapat juga keadaan di mana seseorang yang berada dalam usia belia boleh juga mengalami pemutihan warna rambut atau pertumbuhan rambut yang berwarna putih kelabu.

Keadaan ini disebut sebagai pemutihan rambut pramatang (PGH)

Perbezaan pigmentasi rambut dan pigmentasi kulit

Terdapat pelbagai jenis perbezaan antara pigmentasi kulit dan juga pigmentasi rambut.

Sebagai permulaan, di rambut, setiap sel melanocyte dikaitkan dengan 5 sel keratinocyte dalam akar rambut, membentuk satu “unit folikel rambut-melanin”.

Unit pigmen rambut adalah struktur hitam berbentuk seperti buah pear, terletak pada bahagian hujung papila dermis.

Dalam rambut yang sudah beruban, struktur unit pigmen ini tidak lagi mempunyai bentuk yang jelas dan sel-sel melanocyte menjadi sedikit dan berbentuk bulat.

Di kulit pula, setiap sel melanocyte dikaitkan dengan 36 sel keratinocyte untuk membentuk satu “unit epidermis-melanin”.

Perbezaan adalah di kulit, penghasilan melanin adalah proses yang berlaku secara berterusan manakala proses melanogenesis di bahagian rambut pula hanya berlaku pada fasa tertentu dalam kitaran pertumbuhan rambut.

Lebih tepat lagi, pigmentasi rambut berlaku pada tahap yang aktif ketika fasa anagen, kemudian tidak wujud pada fasa telogen.

Faktor genetik

Mutasi pada gen Mc1r menyebabkan warna seseorang itu boleh menjadi warna coklat kemerah-merahan atau merah sepenuhnya, seperti yang berlaku dalam kumpulan warna rambut merah semula jadi.

Mutasi genetik ini kerap dilihat pada individu-individu berketurunan Eropah Timur di mana pendedahan kepada cahaya matahari sangatlah sedikit dan juga penduduk asli di kepulauan Britain.

Variasi gen Mc1r ini diturunkan secara resesif kepada keturunan seterusnya.

Terdapat juga kajian pada tahun 2012 yang menunjukkan berlakunya mutasi resesif pada protein TYRP1 dalam kalangan mereka yang berambut perang muda (blonde).

Selain mutasi genetik, terdapat kewujudan beberapa gen yang berupaya untuk menghasilkan kesan pemutihan warna rambut juga.

Antara gen yang dimaksudkan adalah gen Bcl2 dan juga gen Bcl-w. Kedua-dua peranan gen ini dikenal pasti pada tahun 2016.

Terdapat juga satu gen yang turut dikaitkan dengan proses pemutihan warna rambut ini iaitu gen IRF4.

Kekurangan vitamin B12

Kekurangan vitamin B12 berupaya untuk menyebabkan penukaran warna rambut menjadi putih.

Dikatakan sekitar 55% daripada pesakit yang menghidap pernicious anemia menghidap masalah perubahan warna rambut menjadi warna putih sebelum mencapai usia 50-an.

Kekurangan hormon tiroid

Kekurangan hormon tiroid T3 dan T4 juga salah satu daripada punca yang dikenal pasti berupaya untuk menyebabkan perubahan warna rambut pramatang (PGH), selain masalah keguguran rambut.

Hormon tiroid T3 dan T4 bertindak secara langsung terhadap folikel rambut dalam merangsang proses penghasilan melanin (melanongenesis).

Merokok

Merokok adalah aktiviti yang cukup terkenal sebagai faktor risiko dan punca pelbagai jenis penyakit berbahaya.

Maka tidak hairanlah merokok termasuk dalam salah satu perkara yang menyumbang kepada pemutihan warna rambut.

Kajian mendapati merokok mempunyai kaitan yang signifikan dengan PGH.

Antara penjelasan yang diberikan untuk mengaitkan kesan rokok kepada pemutihan rambut ini adalah sifar prooksidan rokok yang meningkatkan kerosakan Spesies Reaktif Oksigen (ROS) kepada sel-sel melanocyte pada bahagian folikel rambut.

Penggunaan pewarna rambut untuk warna – warni tiruan

Pewarna rambut adalah bahan yang cukup popular dalam kalangan pengguna yang ingin mencuba warna rambut baru atau warna rambut yang selalu mereka impikan.

Selain untuk tujuan kosmetik, pewarna rambut juga turut digunakan oleh mereka yang mempunyai masalah pemutihan rambut pramatang (PGH) Pewarna rambut boleh dihasilkan melalui bahan semula jadi atau bahan sintetik.

Selain itu, bahan pewarna ini juga boleh bertindak secara sementara ataupun kekal.

Pewarna rambut semula jadi dihasilkan menggunakan ekstrak tumbuh-tumbuhan seperti pokok teratai (Zizyphus spina-christi), pokok henna (Lawsonia alba), pokok Indian gooseberry (Emblica officinalis) dan juga pokok spesies Eclipta alba.

Kelebihan menggunakan pewarna rambut berteraskan bahan semula jadi ini adalah ia bersifat hipoalergenik dan juga tidak toksik.

Lazimnya, bahan pewarna rambut semula jadi lebih cenderung untuk kekal lebih lama berbanding pewarna rambut yang berteraskan bahan sintetik.

Pewarna rambut yang bertindak untuk tempoh sementara, tidak mampu untuk menembusi kutikel dan ia boleh hilang jika dibasuh dengan syampu.

Selain memberikan warna rambut yang seragam dan menarik, bahan pewarna juga melindungi rambut anda daripada kerosakan akibat sinaran cahaya matahari.

Pewarna rambut sementara akan pudar dengan sendirinya dalam tempoh masa 4 hingga 6 minggu.

Disebabkan kebergantungannya pada ketelusan struktur rambut, warna asal rambut dan kadar pudar yang cepat, pewarna rambut sementara mampu menghasilkan tona yang sedikit tidak sekata yang menyebabkannya kelihatan lebih semula jadi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]