Dr M: Perlu tarik status PR jika Naik ganggu-gugat negara

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Kamaruddin Meranun (5 dari kiri), Pengerusi AirAsia X Rafidah Aziz, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan CEO AirAsia Group Tony Fernandes ketika melawat AirAsia RedQ hari ini.

SEPANG: Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kerajaan boleh menarik balik status pemastautin tetap (PR) penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik jika dia didapati mengganggu-gugat negara.

Perdana menteri berkata buat masa ini dia menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan terhadap penceramah dari India itu.

“Sudah tentu jika dia ada lakukannya adalah satu keperluan untuk kita tarik balik status PR dia,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini.

Mahathir tidak menolak kemungkinan langkah-langkah akan diambil bagi mengekang ucapan-ucapan provokatif.

“Kita mungkin perlu mengambil tindakan untuk menghalangnya daripada membuat ucapan provokatif yang cenderung melaga-lagakan kaum.”

Polis hari ini menyarankan Naik supaya tidak berucap di Perlis, sebelum program 3 hari yang sepatutnya menampilkan penceramah itu dan ahli keluarganya.

Ketua polis negeri, Noor Mushar Mohd berkata ia bertujuan meredeakan keadaan semasa yang dilihat tegang berikutan kenyataan Naik.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata polis akan memanggil Naik untuk disoal.

Naik baru-baru ini mengundang kontroversi apabila dia dikatakan menyentuh tentang kesetiaan masyarakat Hindu tempatan kepada Mahathir.

Dia juga dilapor berkata orang Cina tempatan adalah “tetamu” di negara ini.