Kerajaan teliti struktur cukai lapangan terbang supaya adil bagi semua penumpang

Dr Mahathir Mohamad ditemani Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook dan Pengerusi AirAsia X, Rafidah Aziz ketika melawat ibu pejabat AirAsia RedQ di klia2 hari ini.

SEPANG: Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang meneliti struktur cukai lapangan terbang supaya ia adil kepada semua penumpang, selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan AirAsia membayar lebih RM40 juta caj perkhidmatan penumpang (PSC) kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Perdana menteri berkata, tidak adil untuk mengenakan kadar cukai sama kepada penumpang yang membeli tiket penerbangan kos rendah dan tinggi.

“Ketika ini, apabila bercakap mengenai cukai, satu peringkat cukai dikenakan kepada semua orang, tetapi semua orang adalah berbeza.

“Jadi, kita perlu mengambil kira saiz, kos dan tambang dalam pertimbangan kita,” katanya selepas melawat ibu pejabat AirAsia RedQ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini.

Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan AirAsia membayar PSC sebanyak RM40.73 juta kepada MAHB kerana syarikat penerbangan tambang rendah itu enggan mengutip caj itu selama 6 bulan pada 2018.

MAHB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata, AirAsia juga perlu membayar RM792,381 bagi caj pembayaran lewat belum dibayar kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MAHB.

Untuk rekod, caj yang dibayar penumpang di klia2 untuk penerbangan ke destinasi luar Asean meningkat 2 kali ganda sejak 2016.

Sehingga 31 Disember 2016, MAHB mengenakan PSC sebanyak RM32 seorang, ia kemudian dinaikkan kepada RM50 mulai 1 Januari 2017 dan RM73 sejak 1 Julai 2018.

Tetapi, AirAsia enggan mengutip tambahan RM23 daripada pelanggannya untuk memastikan perjalanan udara kekal mampu untuk semua kerana ia percaya kenaikan PSC itu “tidak munasabah”.

Hari ini, Mahathir berkata, Putrajaya akan mempertimbangkan penangguhan levi pelepasan yang dijadualkan bermula bulan depan.

Beliau mengulas gesaan peserta industri menangguhkan pelaksanaan levi pelepasan selepas Tahun Melawat Malaysia 2020, dengan ada yang mahu cukai itu dikurangkan atau dimasukkan dalam tambang penerbangan.

Ketika membentangkan Bajet 2019, kerajaan mencadangkan levi pelepasan RM20 bagi negara Asean dan RM40 ke benua lain mulai 1 Jun 2019 untuk menggalakkan pembangunan pelancongan domestik.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Levi Pelepasan 2019 pada 10 April lalu, disusuli pengumuman Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah pada 2 Julai lalu untuk melaksanakan levi itu mulai 1 September ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar kewangan melaporkan kadar itu akan dibahagikan kepada RM8 bagi penumpang kelas ekonomi dan RM20 bagi kelas perniagaan serta pertama yang terbang ke destinasi Asean, manakala negara lain dikenakan RM50 bagi kelas ekonomi serta RM150 kelas perniagaan dan pertama.

Levi itu ialah tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan lapangan terbang.

Pelan pulih Malaysia Airlines

Mahathir berkata kerajaan menerima banyak kertas cadangan berkaitan pelan pemulihan Malaysia Airlines.

“Kita sedang meneliti banyak kertas cadangan berkaitan bagaimana mereka mahu ambil alih MAS dan pulihkannya.

“Setakat ini, kita belum yakin (dengan kertas cadangan itu), tapi kita akan pertimbangkan semua cadangan yang diberikan kepada kita.”