Lelaki dakwa Nora dirogol Orang Asli ditahan polis

Tangkap layar pengguna Twitter yang dikenali Zikri Armstrong yang mendakwa Nora Anne Quoirin dirogol Orang Asli.

SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mendakwa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dirogol Orang Asli.

Lelaki itu yang menggunakan nama Zikri Armstrong membuat dakwaan tersebut melalui akaun Twitternya, ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, jam 7 malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata kes itu diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

“Lelaki itu sudah ditangkap malam tadi di Seremban,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Mayat remaja berumur 15 tahun itu dijumpai pada Selasa selepas dilaporkan hilang dari bilik penginapannya di resort eko-pelancongan pada 4 Ogos.