Libya: 90 terbunuh, ratusan cedera dalam pertempuran komunal

Ibu kota Libya, Tripoli, menjadi medan pertempuran berterusan bagi operasi ketenteraan yang menyebabkan kemusnahan serta beratus-ratus orang terkorban. (Gambar Twitter)

NEW YORK: Sekurang-kurangnya 90 orang awam terbunuh, manakala beratus-ratus lagi cedera dalam pertempuran komunal di pekan Murzuq, Libya, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

“Pejabat Penyelarasan dan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, sekurang-kurangnya 90 orang awam terbunuh, manakala lebih 200 lagi cedera akibat pertempuran ganas yang memuncak pada awal bulan ini di Murzuq, selatan Libya, termasuk serangan udara yang menyasarkan kawasan itu pada 4 Ogos,” menurut pejabat jurucakap setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu menyebut pertempuran di Murzuq memuncak susulan beberapa serangan udara berturut-turut yang tepat mengenai kawasan itu pada 4 Ogos.

Pertempuran turut berlanjutan semasa perayaan Aidiladha yang disambut umat Islam, mengabaikan gencatan senjata yang dipelopori PBB pada 10 dan 11 Ogos.

Sejumlah 6,426 orang dan kira-kira 270 migran dari Afrika Barat menjadi pelarian domestik sejak keganasan memuncak, menurut kenyataan itu.

PBB dan rakan kongsi kemanusiaan menyediakan bantuan kecemasan kepada orang ramai di kawasan yang terus mengalami gangguan bekalan elektrik dan sarana telekomunikasi terhad.

Selepas Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh pada 2011, Libya berhenti berfungsi sebagai sebuah negara yang bersatu.

Dua kerajaan saingan memisahkan negara itu kepada 2 bahagian, dengan Tentera Kebangsaan Libya (LNA) menguasai bahagian timur, manakala Kerajaan Perpaduan Libya (GNA) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menguasai bahagian barat.

Ibu kota Tripoli menjadi medan pertempuran berterusan bagi operasi ketenteraan yang menyebabkan kemusnahan serta beratus-ratus orang terkorban.