Mahkamah batal kemenangan bekas menteri Anifah di Kimanis

Peguam, Tengku Fuad Ahmad berkata, Anifah Aman akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini mengisytiharkan kemenangan bekas menteri luar, Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu tidak sah dan terbatal.

Hakim, Lee Heng Chung berkata hasil siasatan mendapati wujud unsur manipulasi, termasuk penambahan 284 dan 57 undi di 2 pusat mengundi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Beliau memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya melanggar Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan undi tambahan itu ialah faktor yang mempengaruhi keputusan di Kimanis, oleh itu pilihan raya kecil perlu diadakan.

Mahkamah turut mengarahkan SPR membayar kos RM100,000 kepada Karim Bujang yang memfailkan petisyen itu pada 18 Jun 2018 dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya di kerusi Kimanis serta SPR sebagai responden ke-2 dan ke-3.

Peguam, Tengku Fuad Ahmad yang mewakili Anifah memberitahu FMT, mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Nampaknya hakim membuat sejumlah kesilapan yang boleh diterbalikkan dalam penghakimannya, khasnya apabila kami tidak tahu sama ada undi tambahan itu memihak kepada Anifah atau Karim Bujang yang memfailkan petisyen pilihan raya.

“Untuk memenuhi Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya, anda perlu menunjukkan Karim akan menang jika bukan kerana undi tambahan itu. Kami akan membangkitkannya dalam rayuan.”

Mahkamah bagaimanapun menolak kes rasuah terhadap Anifah dan memerintah Karim membayar kos RM105,000 kepada bekas pemimpin Umno itu.

Anifah memenangi kerusi Kimanis atas tiket Barisan Nasional dengan majoriti tipis 156 undi, selepas meraih 11,942 undi, manakala Karim yang mewakili Warisan mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail sekadar memperoleh 1,300 undi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Kimanis itu meninggalkan parti berkenaan pada 18 September 2018.