Mahkamah tolak saman bagasi hilang penumpang AirAsia X

Peguam Ruebankumar Asokan yang mewakili AirAsia X di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini.

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini menolak saman yang difailkan penumpang AirAsia X yang mendakwa kehilangan bagasi dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Melbourne, Australia, 2 tahun lalu.

Majistret Nur Azzuin Abdul Moati juga memerintahkan Ragindran Sivasamy membayar kos RM1,000 kepada syarikat penerbangan itu.

Ragindran menyaman AirAsia X pada 28 Jan 2019, menuntut ganti rugi sebanyak RM11,700 serta kos, ganti rugi khas dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam kenyataan tuntutannya, beliau berkata syarikat penerbangan itu gagal menunaikan janjinya untuk menghantar bagasinya ke Lapangan Terbang Melbourne dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 19 Jun 2017 yang menyaksikan penerbangan itu transit di klia2.

Katanya, beliau membuat pertanyaan mengenai bagasinya beberapa kali setelah kembali dari perjalanannya, tetapi tiada tindakan diambil. Beliau juga membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Beliau berkata insiden itu adalah kes kecuaian yang jelas oleh syarikat penerbangan tersebut dan kakitangannya, dan mendakwa terdapat kekurangan prosedur yang ketat untuk mengendalikan bagasi.

Menurut Ragindran, beberapa barangannya hilang termasuk jam tangan Rado bernilai RM3,000, sepasang cermin mata Ray-Ban (RM1,800), pakaian musim sejuk (RM3,000), pakaian berjenama lain (RM2,000) dan terpaksa menghabiskan RM1,900 untuk membeli pakaian ganti di Australia.

AirAsia X dalam kenyataan pembelaannya, berkata Ragindran bersetuju dengan terma dan syaratnya termasuk kenyataan liabiliti terhad berhubung kehilangan bagasi.

Katanya, ia tidak pernah menafikan kehilangan bagasi dan menawarkan pampasan mengikut terma ditetapkan. Ia juga menafikan ia cuai dalam mengendalikan bagasi Ragindran.

Ragindran diwakili peguam Syahril Rezwan Abdullah manakala Ruebankumar Asokan mewakili AirAsia X.

Ruebankumar memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa Ragindran ditawarkan pampasan sebanyak AS$300 atau RM1,255 untuk bagasinya yang hilang, sejajar dengan terma dan syarat tiket penerbangannya.

Beliau berkata tarif untuk pampasan dinyatakan pada kadar AS$20 (RM84) bagi setiap kg. Manakala beg Ragindran seberat 10kg, AirAsia X pada mulanya menawarkannya AS$200 tetapi ditolaknya.

“Apabila kami menawarkan AS$300, yang lebih tinggi daripada jumlah pampasan, beliau juga menolak,” katanya.

Ruebankumar berkata dalam perbicaraan, Ragindran mendakwa dia tidak melihat terma dan syarat AirAsia X ketika membeli tiketnya.

Dia mempersoalkan dakwaan itu, menyatakan mereka yang membeli tiket dalam talian mesti klik “setuju” dengan terma dan syarat sebelum tiket boleh dibeli.

Sementara itu, Syahril memberitahu FMT dia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini.