Mat Sabu dakwa peruntukan kepada Kementah tak cukup

Malaysia hanya berbelanja sebanyak 0.9% daripada KDNK atau sebanyak RM3.4 bilion pada 2018, yang menurut Mat Sabu ia satu jumlah sederhana.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menggesa Putrajaya meningkatkan lagi peruntukan kementeriannya bagi memartabatkan kekuatan dan kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamad berkata, peruntukan kementeriannya tahun lalu tidak mencukupi dan membandingkan dengan beberapa negara lain yang mencapai indeks kebahagiaan tinggi dan berbelanja besar dalam aspek pertahanan.

“Jika di Finland, yang berada di kedudukan pertama indeks negara bahagia, mereka membelanjakan 1.4% keluaran dalam negara kasar (KDNK) atau AS$3.8 bilion untuk pertahanan pada 2018, sedangkan rakyat 5.5 juta.

“Norway dan Denmark juga berbelanja 1.6% dan 1.1% daripada KDNK yang membawa kepada nilai AS$6.9 bilion dan AS$4.1 bilion untuk pertahanan pada 2018. Sedangkan penduduk negara mereka lebih kecil daripada Malaysia.

“Negara jiran, Singapura walaupun keluasan negara mereka 646km persegi, 150km panjang perairan, mereka berbelanja 3.1% daripada KDNK atau AS$11.4 bilion untuk pertahanan pada 2018,” katanya di Kementerian Pertahahan, hari ini.

Menurut Mohamad, Malaysia pula hanya berbelanja sebanyak 0.9% daripada KDNK atau sebanyak RM3.4 bilion pada 2018, yang menurutnya satu jumlah sederhana dan perlu dipertingkatkan.

“Jika dibandingkan negara ini, yang mempunyai 32.4 juta penduduk, seramai 170,000 anggota angkatan tentera, keluasan sebanyak 329,000km persegi, keluasan perairan sebanyak 4,600km persegi pula hanya berbelanja 0.9% daripada KDNK pada 2018.

“Ertinya, untuk pertahanan di Malaysia ia satu jumlah yang dianggap sederhana, bukannya besar. Berbeza dengan negara yang tidak berperang, lihatlah Jepun dan negara maju lain,” katanya.

Jelas Mohamad, rakyat tidak menyedari pentingnya peruntukan besar dalam aspek pertahahan, walaupun Malaysia berada dalam keadaan aman dan tenteram.

“Bagi saya, peruntukan ini masih belum cukup. Saya akan terus perjuangkan supaya martabatkan kekuatan dan peranan tentera, supaya dipertingkatkan dari masa ke semasa,” katanya.