Naik tuntut maaf, pampasan dari Kula

PETALING JAYA: Penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik menghantar notis tuntutan kepada M Kula Segaran, mendakwa menteri sumber manusia itu memfitnahnya dalam satu kenyataan akhbar 3 tahun lalu.

Peguam Akberdin Abdul Kader berkata anak guamnya mahu Kula membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di media sosial dalam tempoh 48 jam.

Naik juga mahu Kula menawarkan pampasan atas ganti rugi, malu dan penghinaan yang dialaminya akibat kenyataan itu.

Akberdin berkata saman fitnah akan dibuat terhadap Kula sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

Menurut beliau, kenyataan yang didakwa memfitnah itu dibuat dalam satu kenyataan media bertajuk “Zakir Naik’s presence in Malaysia is embarrassing to all Malaysians” (Keberadaan Zakir Naik di Malaysia memalukan semua rakyat) dan disiarkan beberapa media.

Tuntutan itu berkata kenyataan itu antara lain membayangkan Naik seorang yang tidak jujur yang akan menyalahgunakan agama Islam untuk kepentingan diri.