Operasi cari anggota tentera hilang di Pulau Perak diteruskan di darat, kata menteri

Pulau Perak merupakan pulau batuan kecil yang terletak di lokasi paling barat dalam wilayah Malaysia. Ia merupakan sebahagian daripada negeri Kedah.

KUALA LUMPUR: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan 2 anggota tentera darat Malaysia (TDM) yang dilaporkan hilang di Pulau Perak, Kedah pada 20 Julai lepasakan diteruskan di darat.

“Pihak tentera darat akan terus berusaha mencarin meraka dan operasi di laut, kalau ada tanda-tanda baru kita akan teruskan. Setakat ini tanda-tanda baru itu tidak ada lagi.

“Jadi, usaha mencari terus kita usahakan, terutamanya di daratan,” kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Operasi SAR bagi mengesan 2 anggota berkenaan yang dilaporkan hilang Julai lepas, sebelum ini sudah ditamatkan.

Terdahulu Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan operasi SAR bagi mengesan 2 anggota itu telah ditamatkan.

Ia berikutan kenyataan Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menyebut bahawa ia tidak menemui sebarang petunjuk dan tidak ada penemuan jasad selepas 72 jam operasi dijalankan.

Pada 22 Julai, Kementerian Pertahanan memaklumkan kehilangan 2 anggotanya iaitu Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Kehilangan kedua-dua anggota itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam 19 Julai bagi mengira kekuatan anggota.

Sebelum ini, kes kehilangan anggota tentera di Pulau Perak pernah berlaku pada 3 Oktober 2016 membabitkan Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.

Mohd Faizol bagaimanapun ditemukan oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas 4 hari hilang, namun Johbartlee dilaporkan masih belum ditemukan sehingga kini.

Pulau Perak merupakan pulau batuan kecil yang terletak di lokasi paling barat dalam wilayah Malaysia. Ia merupakan sebahagian daripada negeri Kedah.