Pastikan ladang kamu tiada buruh paksa, Tenaganita beritahu FGV

NGO AS khuatir dengan dakwaan buruh paksa dan pemerdagangan manusia di ladang-ladang sawit FGV.

PETALING JAYA: Tenaganita menggesa syarikat perladangan FGV Holdings Berhad memastikan tiada buruh paksa dan pemerdagangan manusia di ladang-ladangnya.

Perkembangan ini selepas badan-badan bukan kerajaan Amerika Syarikat menyeru pihak berkuasa AS melarang pengimportan minyak sawit FGV dan menyiasat syarikat itu, susulan dakwaan berkenaan buruh paksa.

International Labor Rights Forum (ILRF), Rainforest Action Network (RAN) dan SumOfUs sudah memfailkan aduan di agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP), langkah perlu bagi menghalang kemasukan barangan yang dibuat dengan buruh paksa.

“Kami menggesa FGV mengukuhkan langkah-langkah pemulihannya bagi memastikan tiada buruh paksa dan mematuhi semua konvensyen-konvensyen ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa), terutama berkenaan status dan layanan pekerja-pekerja asing,” kata Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das.

Tenaganita sedia bekerjasama dengan FGV bagi memastikan operasinya tiada buruh paksa.

Reuters memetik kenyataan FGV semalam yang berkata ia selalu mengakui kealpaan dan kesilapan masa lalu, “yang mana semuanya sedang atau sudah dibetulkan”.

“Bagaimanapun, FGV menyedari ruang untuk penambahbaikan sentiasa ada, dan kami berterima kasih apabila pemegang taruh melibatkan diri bersama kami atau mencadangkan perbaikan yang akan memanfaatkan semua orang.

“FGV komited kepada pembangunan yang beretika dan bertanggungjawab,” katanya.

FGV merupakan penngeluar minyak sawit mentah utama dunia, dengan output 2.8 juta tan minyak makan tahun lepas.