Penghidap kanser buka kafe latih OKU berdikari

Kafe Tender Hearts dibuka bagi memberi peluang kepada golongan OKU mencari rezeki sama seperti orang normal.

Sebagai ibu tunggal yang mempunyai anak kelainan upaya, Sharon Lee memahami kesukaran golongan istimewa bersaing dengan orang normal untuk mendapat tempat dalam sektor tenaga kerja arus perdana, walaupun mereka berpendidikan.

Dari sana, beliau mendapat idea menubuhkan kafe Tender Hearts di Pusat Beli-belah Summit USJ, Subang Jaya, pada April 2018 khusus untuk melatih orang kelainan upaya.

Selain bayaran, mereka dapat belajar berdikari dan merasai kehidupan seperti orang biasa, paling penting ialah mereka tidak lagi dibuli di tempat kerja.

Golongan OKU akan menghidangkan makanan kepada pelanggan yang datang ke kafe.

“Saya buka kafe ini untuk mereka yang terpilih, istimewa kerana ada di antara mereka yang dibuli di tempat kerja dulu, jadi saya buat semua ini untuk mereka.

“Anak saya juga di sini, merupakan salah seorang OKU, sebab itu juga saya buat kafe ini demi mereka.

“Kita akan ajar mereka cara melayani pelanggan, cara memasak, buat kek, kelas komputer pun kita ada buat untuk mereka,” kata penghidap kanser payudara yang mempunyai 2 anak itu kepada FMT.

Pengasas Tender Hearts, Sharon Lee bersama anaknya yang juga OKU serta anak didiknya yang pemalu.

Kini, kafe Tender Hearts dikendalikan 21 pekerja OKU berumur 17 hingga 31 tahun di bawah bimbingan Lee dan ibu lain.

Lee berharap pekerjanya akan menggunakan pengalaman dan kemahiran dipelajari untuk mengendalikan kafe sendiri pada masa depan.

“Hasrat saya selepas 5 tahun, mereka boleh kendalikan kafe Tender Hearts sendiri. Saya tak mahu mereka dibuli, saya juga berterima kasih kepada beberapa pihak yang menyokong penubuhan kafe ini.”

Antara menjadi kegemaran pelanggan, nasi lemak ayam percik.

Kafe Tender Hearts menyediakan menu ringkas seperti nasi lemak ayam percik, nasi goreng ayam percik, mee goreng, teh o, milo, kopi dan minuman lain yang mudah dipelajari pekerjanya.

Dany Haris, 21, lebih selesa bekerja di Tender Hearts yang penuh dengan kasih sayang berbanding tempat kerja lama, di mana beliau dibuli rakan sekerja.

Leong Sek Yin turut berdepan nasib sama kerana dipaksa menari oleh rakan sekerja di tempat kerja lama.

Difahamkan, beberapa bekas pekerja Tender Hearts kembali semula ke sana kerana tidak tahan dibuli pekerja sebuah restoran makanan segera.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]