Peruntukan undang-undang mencukupi untuk dakwa Zakir Naik, kata peguam

Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dua peguam berkata, penceramah kontroversi warga India, Dr Zakir Naikboleh disiasat dan didakwa di bawah Kanun Kesiksaan kerana membuat ucapan kebencian dan mencetuskan ketidaktenteraman awam di negara ini.

Haris Ibrahim berkata, terdapat cukup peruntukan undang-undang untuk menangani ucapan kebencian yang dibuat oleh Zakir beberapa hari lepas.

Beliau berkata, Akta Hasutan tidak harus digunakan terhadap Zakir, tetapi undang-undang lain boleh digunakan untuk menyiasat tindak tanduk beliau.

“Zakir Naik mesti ditangani dengan segera. Saya kecewa dengan kenyataan yang dibuatnya mengenai saudara Cina dan Hindu kita.

“Tidak patut orang yang datang ke negara ini menghina rakyatnya,” kata beliau, merujuk kepada kenyataan Zakir dalam ceramahnya di Kelantan hujung minggu lepas.

Beliau dikritik selepas berkata penganut Hindu di Malaysia mendapat “100 kali lebih banyak hak” berbanding orang Islam di India, tetapi mereka lebih menyokong perdana menteri negara itu berbanding perdana menteri Malaysia.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa orang Cina di Malaysia dianggap sebagai “tetamu” dan boleh juga diminta keluar seperti dirinya.

Haris membangkitkan kemungkinan Zakir Naik “dilindungi” dengan berkata, mana-mana pelawat ke negara ini perlu berhati-hati dalam membuat komen mengenai rakyatnya.

Beliau menggesa pihak polis supaya menyiasat ucapan Zakir dan menahan reman beliau sekiranya perlu.

Setiausaha agung Pertubuhan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam) Lim Wei Jiet bersetuju bahawa wujud peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk mendakwa Zakir Naik.

Katanya, mana-mana individu boleh disiasat kerana membuat kenyataan yang mencetuskan ketidaktenteraman awam dan kerana melanggar Kanun Kesiksaan.

Beliau berkata, Zakir boleh disiasat di bawah 3 seksyen dalam Kanun Kesiksaan.

Ini termasuklah kesalahan melukakan perasaan keagamaan orang lain dengan sengaja, melakukan mudarat awam dan sengaja menghina dan memprovokasi orang lain dengan pengetahuan bahawa ia boleh menyebabkan berlakunya ketidaktenteraman awam.

Bagaimanapun katanya, Akta Hasutan tidak harus digunakan terhadap Zakir kerana “mana-mana orang tidak harus dikenakan undang-undang menindas itu”.

Selain itu kata beliau, Zakir boleh disiasat di bawah Kanun Kesiksaan kerana membuat ucapan yang bertentangan dengan undang-undang negara ini,” kata Lim.