PH tak payahlah bergaduh kerana Zakir Naik, kata Kadir Jasin

Kadir Jasin.

PETALING JAYA: Wartawan veteran, A Kadir Jasin menegur Pakatan Harapan jangan bergaduh dan berpecah-belah kerana Zakir Naik, seolah-olah penceramah kontroversi dari India itu lebih penting daripada rakyat.

Beliau yang juga penasihat khas media dan komunikasi kepada perdana menteri mengingatkan PH bahawa isu Naik adalah beban yang ditinggalkan “orang lain”.

“Bodoh orang yang sudah pun ada beban tetapi cari beban baru atau ambil alih beban orang lain,” katanya.

“Dia bukan ciptaan kita pun. Dia dibawa masuk dan, khabarnya, dibagi taraf pemastautin tetap pada zaman kerajaan Barisan Nasional,” tambahnya.

Kadir berkongsi pengamatannya terhadap kesungguhan sesetengah “orang kita” mempertahankan Naik, seolah-olah dia seorang lebih penting daripada peneroka Felda, pekebun Felcra, penanam padi, nelayan dan penduduk PPRT.

“Kerja bodoh; kera di hutan disusukan anak di rumah mati kebuluran,” katanya.

Beliau berkata orang Islam di Malaysia sekarang berpecah-belah bukan kerana politik saja tetapi juga kerana dogma yang dibawa balik penuntut yang belajar di negara-negara gagal dan pendakwah asing dari negara-negara Islam yang agal.

“Cukuplah kita membazirkan masa ke atas perkara-perkara remeh-temeh dan melayan idealisme songsang dan pemikiran tidak rasional,” katanya.

Kadir mencadangkan pihak berkuasa lebih teliti dan ketat mengenai kemasukan pendakwah asing, termasuk paderi dan sami, dan memantau kegiatan mereka.

“Kita kena ingat bukan orang Islam saja import penceramah agama. Agama-agama lain pun buat juga,” katanya.

“Mana-mana yang didapati melanggar syarat kemasukan, khususnya membahayakan ketenteraman awam, wajib dikenakan tindakan termasuk diusir keluar.”