Pyongyang tiada lagi hasrat berunding dengan Korea Selatan

Pyongyang menyelar tindakan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan dengan AS bermula awal bulan ini dan mendakwa ia adalah latihan untuk menceroboh Korea Utara.

SEOUL: Korea Utara pada Jumaat berkata, Pyongyang tidak berhasrat untuk berunding lagi dengan Korea Selatan dan menyifatkan harapan meneruskan semula perbincangan selepas latihan ketenteraan bersama Seoul dengan Amerika Syarikat (AS) berakhir adalah sesuatu yang “tidak masuk akal,” lapor agensi berita Yonhap.

Kenyataan itu dibuat oleh jurucakap Jawatankuasa Korea Utara bagi Penyatuan Semula Kedamaian Negara ketika ia melancarkan 2 lagi peluru berpandu tidak dikenali ke arah Laut Tmur, yang ke-6 seumpamanya dalam tempoh 3 minggu, pada hari sama.

“Pihak berkuasa Korea Selatan sedang mengintai peluang untuk menangguk di air yang keruh dalam dialog DPRK-AS akan datang dengan mengimpikan fasa dialog itu akan berlaku secara semula jadi selepas latihan ketenteraan bersama tersebut sama seperti perubahan semula jadi pada tahun ini.

“Mereka perlu melupakan perkara yang tidak masuk akal ini,” menurut kenyataan itu seperti dilapor oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

DPRK adalah singkatan nama rasmi Korea Utara iaitu Republik Demokratik Rakyat Korea.

“Mereka dapat melihat dengan jelas apa yang kami rasakan sekarang dan kami tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dibincangkan dengan pihak berkuasa Korea Selatan atau hasrat untuk berunding lagi dengan mereka,” katanya.

Korea Utara menyelar tindakan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan AS yang bermula awal bulan ini dan mendakwa ia adalah latihan untuk menceroboh Korea Utara.

Korea Utara baru-baru ini berkata, dialog antara Korea tidak akan diteruskan kecuali Korea Selatan memberikan satu “alasan yang munasabah” bagi tindakannya mengadakan latihan ketenteraan bersama dengan AS.