Ringgit naik sedikit berbanding dolar AS

Prospek pertumbuhan global yang suram dan harga minyak yang diunjurkan tidak menentu terus memberi kesan terhadap ringgit

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit lebih tinggi berbanding dolar AS pada pagi ini berikutan sokongan belian sederhana, di tengah-tengah sentimen pasaran berhati-hati, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1900/1940 berbanding dolar AS daripada 4.1920/950 semasa ditutup pada Khamis.

Menurut peniaga, pelabur sedang menunggu pengeluaran prestasi ekonomi bagi suku ke-2 dan separuh pertama oleh Bank Negara Malaysia tengah hari ini.

“Tumpuan tidak diberikan kepada ringgit ketika ini berikutan keadaan turun naik yuan China kian berkurangan. Tetapi prospek pertumbuhan global yang suram dan harga minyak yang diunjurkan tidak menentu terus memberi kesan terhadap ringgit,” katanya.

Mata wang tempatan didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Berbanding yen, ringgit meningkat kepada 3.9480/9529 daripada 3.9570/9609 sementara berbanding dolar Singapura naik kepada 3.0161/0205 daripada 3.0173/0199.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.0645/0705 daripada 5.0706/0760 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6522/6574 daripada 4.6737 / 6787.