Shafee fail permohonan baru halang Sri Ram jalankan pendakwaan

Peguam Muhammad Shafee Abdullah.

PUTRAJAYA: Peguam Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk memasukkan keterangan menunjukkan peguam kanan Gopal Sri Ram tidak boleh dilantik sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) di bawah Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah.

Shafee berkata, peruntukan itu hanya terpakai kepada DPP dalam kalangan pegawai awam dan berada dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Peguam kanan itu, yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak berkata, beliau telah memfailkan usul untuk memasukkan keterangan baru berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 7 Ogos lepas.

Beliau dan Najib mahu menghalang Sri Ram daripada menjalankan pendakwaan dalam mana-mana kes jenayah melibatkan mereka.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai pasukan 7 hakim, ketika menolak permohonan Najib untuk menghalang Sri Ram daripada menjalankan pendakwaan dalam kes 1MDB menetapkan bahawa bekas hakim itu boleh mengetuai pasukan pendakwaan dalam mana-mana kes jenayah yang ditugaskan kepadanya.

Bagaimanapun, pasukan hakim tersebut memerintahkan pihak pendakwaan supaya mengemukakan surat pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dan menyerahkan satu salinan surat berkenaan kepada Shafee yang mewakili Najib.

Shafee, yang hadir di Mahkamah Rayuan hari ini untuk membuat rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi, Azizah Nawawi, yang sebelum ini menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh beliau dan Najib berkata, permohonan untuk memfailkan keterangan baru dibuat semalam.

Peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan kemudian meminta penangguhan daripada pasukan 3 hakim yang diketuai Hasnah Mohamed Hashim dengan berkata, beliau memerlukan masa untuk menjawab balas permohonan Shafee.

“Kami hanya menerima salinan bermeteri permohonan untuk memasukkan keterangan baru itu hari ini,” katanya.

Hasnah menetapkan 26 Ogos depan untuk mendengar permohonan itu dan rayuan terhadap keputusan Azizah.

Pada 20 Ogos, Azizah berkata, beliau tidak akan melayan permohonan semakan kehakiman kerana Mahkamah Tinggi juga mendengar permohonan serupa yang dibuat oleh Shafee dan Najib.

Sri Ram dan seorang lagi peguam, Sulaiman Abdullah dilantik oleh Peguam Negara, Tommy Thomas sebagai DPP dalam kes 1MDB dan SRC International Sdn Bhd tahun lepas.

Sri Ram turut ditugaskan untuk mengetuai pendakwaan dalam kes International Petroleum Investment Co melibatkan Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau juga ditugaskan sebagai pendakwa dalam kes rasuah dan pengubahan wang melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor, anaknya, Riza Aziz serta bekas pegawai khas beliau, Rizal Mansor.

Bekas hakim itu juga ditugaskan mendakwa Shafee yang berdepan 4 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram kerana menerima wang sebanyak RM9.5 juta daripada Najib.