Zakir Naik tak sertai program disokong kerajaan Perlis selepas larangan polis

KANGAR: Polis melarang Dr Zakir Naik memberi ceramah di Perlis menjelang program “Malaysia Reverts Camp 2019” selama 3 hari yang akan menampilkan pendakwah kontroversi itu dan keluarganya.

Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohd mengeluarkan larangan itu kerana lebih 150 laporan dibuat terhadap Naik setakat ini, susulan kenyataan kontroversinya dalam satu siri ceramah di Kelantan baru-baru ini yang mencetuskan ketegangan kaum.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, jika penganjur membenarkan Naik memberi ceramah dalam program yang bermula hari ini.

Mushar turut menggesa penganjur membatalkan program “Malaysia Reverts Camp 2019” yang disokong agensi kerajaan negeri dan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

“Sebagai ketua polis Perlis, saya tidak membenarkan Zakir Naik menghadiri program hari ini kerana beliau sudah membangkitkan isu yang boleh menjejaskan keamanan awam rakyat Malaysia.

“Kita ialah sebuah negara berbilang kaum, kita perlu menjaga sensitiviti semua dan keamanan serta keharmonian yang kita nikmati sekarang. Saya bertanggungjawab memastikannya.

“Naik boleh datang (ke Perlis), tetapi beliau tidak boleh memberi sebarang ceramah,” katanya di luar satu acara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis di sini, hari ini.

Beliau berkata, Naik perlu memaklumkan polis mengenai topik ceramahnya di Perlis pada masa depan.

“Cara dia bercakap bukan semua orang suka. Kaum lain tidak gembira. Jika beliau mahu berucap, minta beliau maklumkan kami apa yang beliau mahu cakap, biar kami saring dahulu.”

Sementara itu, Asri yang lantang mempertahankan Naik, menasihatkannya tidak menghadiri program “Malaysia Reverts Camp 2019” demi keselamatan beliau dan keluarganya.

“Untuk kemaslahatan Zakir dan keluarga beliau, maka pihak jabatan ini ingin menasihati pihak tuan supaya mengecualikan beliau dan keluarga dalam program Malaysia Reverts Camp 2019.

“Tujuan nasihat ini supaya beliau dan keluarga tidak diganggu disebabkan isu-isu yang akan dibangkitkan oleh pihak yang berniat tidak baik.

“Sehubungan itu, usaha dakwah yang bersungguh-sungguh dari pihak tuan harap dapat diteruskan,” kata Asri dalam surat rasmi dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis yang dilihat FMT hari ini.

Surat itu ditujukan kepada Ketua Pegawai Operasi One Center Malaysia, Muhammad Zamri Vinodh Kalimuthu selaku penganjur program itu.

Zamri yang merupakan pengikut Naik mengesahkan pendakwah itu dan keluarganya tidak akan menghadiri program yang akan diadakan Masjis Al-Hussain, Kuala Perlis, hari ini.

“Saya percaya dengan kebijaksanaan dan keputusannya. Malaysia Reverts Camp 2019 akan diteruskan,” katanya ketika dihubungi FMT sambil menambah pelajar Naik akan menggantikannya dan segmen itu ialah “Tanya pelajar Dr Zakir Naik”.

Program “Malaysia Reverts Camp 2019” untuk mualaf yang bermula petang ini, sepatutnya menampilkan Naik bersama isterinya, Farhat dan 3 anak mereka.

Desakan untuk Naik dihantar pulang ke India meningkat, susulan ceramahnya di Kelantan yang mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Naik yang dikehendaki pihak berkuasa India atas dakwaan pengubahan wang dan mempunyai status penduduk tetap di Malaysia turut dilaporkan berkata, orang Cina juga dianggap “tetamu” di negara ini.

Tetapi, Naik semalam berkata, komennya mengenai orang Cina bertujuan “menempelak ahli politik Cina berpengaruh” yang bersetuju dengan pihak yang menggelarnya “tetamu” di Malaysia.

Beliau turut menyalahkan mereka yang membencinya memetik ceramahnya di luar konteks demi memfitnahnya.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin semalam berkata, polis akan memanggil Naik susulan laporan yang dibuat terhadap kenyataan kontroversinya.