2 NGO susun laporan mengenai ‘kecacatan’ siasatan MH17

Chandra Muzaffar.

GOMBAK: Dua NGO dipimpin aktivis sosial, Chandra Muzaffar akan menulis kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana tidak berpuas hati dengan perbicaraan bunuh 3 warga Rusia dan seorang warga Ukraine yang disyaki menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di ruang udara Ukraine 5 tahun lalu.

Chandra berkata International Movement for a Just World and the Perdana Global Peace Foundation akan menyerahkan laporan perbincangan daripada persidangan mengenai tragedi MH17 hari ini.

“Kebimbangan kami ialah proses kehakiman yang dimulakan oleh kerajaan Belanda dan Pasukan Siasatan Bersama mengenai MH17,” katanya selepas persidangan itu.

Beliau mendakwa terdapat “banyak kecacatan dan persoalan yang tidak terjawab” dalam proses kehakiman itu dan ahli-ahli keluarga mangsa tidak akan mendapat keadilan atas penembakan jatuh pesawat itu.

Chandra tidak memperincikan kecacatan-kecacatan dalam siasatan yang didakwa itu. Beliau berkata ia termasuk “persoalan-persoalan yang tidak terjawab” seperti kenapa Malaysia pada awalnya dikecualikan daripada JIT tetapi kemudian dibawa masuk; persoalan mengenai perubahan rancangan penerbangan MH17 yang dibuat pada saat-saat akhir; dan data daripada sumber-sumber lain yang tidak dipertimbangkan oleh JIT.

Beliau mendakwa siasatan-siasatan itu berat sebelah.

Chandra berkata kumpulan itu mahu menghentikan cubaan JIT membicarakan 4 tertuduh terbabit atas dakwaan membunuh.

Mahathir sebelum ini mengkritik penemuan JIT dan berkata mereka mahu menyalahkan Rusia sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam penembakan MH17.

Pihak berkuasa Belanda pada Jun berkata pertuduhan bunuh difailkan terhadap Igor Girkin, Serget Dubinsky, Oleg Pulatov (warga Rusia yang pernah berkhidmat dengan perisikan tentera), dan Leonid Kharchenko (bekas komander warga Ukraine).

Tragedi MH17 membunuh semua 298 penumpang yang berada dalam pesawat yang ditembak jatuh peluru berpandu ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

Perbicaraan dijadualkan bermula pada 9 Mac 2020. Pihak berkuasa Belanda berkata waran tangkap dikeluarkan tetapi Rusia tidak bekerjasama dengan siasatan MH17 dan dijangka tidak akan menyerahkan 4 lelaki itu.

Perbicaraan akan diadakan tanpa kehadiran mereka, kata pihak berkuasa Belanda.