KDNK suku ke-2 tumbuh 4.9% bukti daya tahan ekonomi, pembaharuan institusi berkesan, kata MOF

Kementerian Kewangan menyifatkan angka pertumbuhan KDNK 4.9% juga mengatasi konsensus pasaran 4.7% yang dikumpulkan oleh Bloomberg. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ke-2 2019 Malaysia yang berkembang pada 4.9% berbanding 4.5% pada suku sebelumnya, membuktikan kemampuan daya tahan negara dalam senario persekitaran global yang mencabar.

Malah, pencapaian yang mengatasi jangkaan pasaran itu, turut menggambarkan keberkesanan pembaharuan institusi yang dilaksanakan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) juga menyifatkan angka pertumbuhan KDNK pada 4.9% itu juga mengatasi konsensus pasaran 4.7% yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

“Ini jelas berlaku ketika beberapa rakan dagang utama Malaysia sedang mengalami pertumbuhan lebih perlahan akibat pelbagai faktor, termasuk perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berlanjutan.

“Malaysia juga adalah antara sekumpulan kecil negara di rantau ini yang menikmati pertumbuhan suku ke-2 lebih pantas berbanding suku sebelumnya,” kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan itu.

Pertumbuhan KDNK Malaysia bagi suku ke-2 disokong oleh pengukuhan permintaan domestik yang berkembang sebanyak 4.6% tahun ke tahun yang lebih pesat daripada 4.4% pada suku pertama 2019.

Lim bagaimanapun mengingatkan, walaupun pertumbuhan Malaysia pesat, kerajaan tidak akan mengetepikan risiko tinggi akibat perang perdagangan AS-China yang terus ketara.

Sehubungan itu katanya, kerajaan sentiasa berjaga-jaga dan akan terus memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi domestik secara mampan dan menyediakan langkah pengembangan luar jangka, jika perlu, bagi menangani sebarang impak daripada perang perdagangan itu.

“Kejayaan kerajaan menguruskan kewangan secara berhemat menerusi usaha pembaharuan sejak setahun lepas akan membolehkan Malaysia menangani (krisis) secara wajar, sekiranya perlu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sememangnya memantau kelemahan permintaan global serta impaknya terhadap ekonomi domestik.

Untuk rekod, pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Julai lepas menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK global 2019 kepada 3.2% daripada 3.3%, manakala awal tahun ini, ia menjangkakan ekonomi dunia pada 2019 akan berkembang pada 3.5%.

Kelemahan permintaan itu disebabkan oleh ketegangan perdagangan yang berterusan. Namun Bank Dunia sebaliknya mengunjurkan bahawa KDNK Malaysia berkembang 4.6% bagi keseluruhan 2019.

Selain itu, pertumbuhan KDNK yang kukuh, beserta konsolidasi kos dan keetelusan fiskal yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah antara faktor yang menyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa untuk mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada gred tinggi atau A- atau A3, kata kenyataan itu.

Pada 18 Julai, Fitch Ratings mengesahkan penarafan kredit kerajaan pada A- dengan unjuran stabil dan ini turut disusuli tindakan sama oleh S & P Global Ratings.