Kementerian sedia bantu kerajaan Pahang cari tapak sesuai pelupusan sisa Lynas, kata Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

PEKAN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk membuat semakan tapak yang sesuai dijadikan Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leach Purification (WLP) yang dihasilkan Lynas.

Katanya, beliau menerima keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng, Kuantan.

“Ini adalah keputusan Kabinet yang telah dibincangkan dan dipersetujui. Saya adalah ahli Kabinet, jadi saya perlu mengikut keputusan yang diputuskan oleh Kabinet,” katanya semasa ditanya pendiriannya dalam isu itu.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada majlis penyampaian hadiah acara memanah sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang di Arena Mahkota di sini, semalam.

Beliau juga memaklumkan pembinaan PDF dalam tempoh 6 bulan adalah antara syarat yang wajib dipenuhi Lynas dalam keputusan Kabinet melanjutkan lesen operasi kilang itu, yang dijadualkan berakhir bulan hadapan, kepada tempoh 6 bulan.

“Kerajaan negeri akan mencadangkan tapak untuk PDF dan kerajaan Persekutuan akan membuat semakan sama ada sesuai atau tidak. Ia perlu mengikut garis panduan standard seperti berapa jauh dari penduduk dan kawasan perumahan.

“Setakat ini kita belum mendengar ada tapak yang dicadangkan, namun kita harap kerajaan negeri beri kerjasama kepada Lynas supaya mereka boleh membuat perancangan berhubung tapak PDF itu,” katanya.

Sementara itu, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah Andansura Rabu berkata, ketegasan kerajaan dalam mewajibkan beberapa syarat bagi melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi itu seharusnya memberi kelegaan kepada rakyat.

Katanya, ketetapan itu sudah pasti dibuat selepas kerajaan menilai semua aspek dalam operasi Lynas dan setelah mendengar pandangan pakar isu nadir bumi dan bahan radioaktif.

“Antara syarat yang ditetapkan ialah Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) yang perlu diberi perhatian penuh oleh Lynas, manakala kerajaan negeri Pahang harus dilibatkan dalam urusan ini.

“Pastikan semua peraturan dan kajian sewajarnya, termasuk kajian alam sekitar, dilakukan dengan sebaiknya dengan pemantauan ketat Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB),” katanya kepada pemberita semalam..

Justeru beliau berpandangan adalah wajar pihak terlibat dalam isu ini memberi masa kepada Lynas untuk memenuhi syarat yang diberikan dan menghentikan segala polemik mengenai operasi kilang itu.

Dalam perkembangan berkaitan, penganjur perhimpunan anti Lynas, yang akan diadakan pada Ahad ini, difahamkan masih belum mendapat kebenaran daripada pemilik premis lokasi, tempat perhimpunan hendak diadakan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, beliau difahamkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selaku pemilik taman rekreasi, Taman Gelora di sini, masih belum meluluskan perhimpunan itu.

Polis telah memaklumkan keperluan mendapatkan kelulusan pemilik premis yang merupakan sebahagian daripada peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012, pada pertemuan bersama penganjur dan peguam mereka beberapa hari lalu, katanya.

“Mereka tahu keperluan mendapatkan kelulusan MPK selaku pemilik premis, namun setakat ini, saya dimaklumkan mereka masih belum memperoleh kebenaran,” katanya di Kuantan, semalam.

Beliau berkata, penganjur perlu mencari lokasi lain, sekiranya MPK tidak mengeluarkan kelulusan kerana perhimpunan itu boleh dianggap tidak sah dan membolehkan tindakan diambil.

“Saya menasihatkan pihak yang terlibat untuk tidak menimbulkan sebarang pelanggaran undang-undang, dalam tindakan mereka. Patuhi undang-undang, malah peguam penganjur juga bersetuju untuk mematuhi peraturan pada pertemuan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pengerusi kumpulan anti Lynas, Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) Tan Bun Teet mendakwa, mereka membuat permohonan kepada MPK sejak 2 minggu lalu, namun setakat ini masih belum menerima maklum balas.