Malaysia tidak bersedia hadapi IR 4.0, kata persatuan majikan

Pesekutuan Majikan Malaysia berkata, Malayasia akan hilang daya saing jika ia gagal menghayati Revolusi Industri 4.0. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, Malaysia tidak bersedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), selain mengingatkan bahawa negara akan kehilangan daya saing jika ia gagal menghayatinya dengan segera.

Pengarah eksekutif MET Shamsuddin Bardan berkata, IR 4.0 telah pun bermula, justeru para pelajar yang bakal menyudahkan pengajian mereka, sama ada di peringkat ijazah, diploma, malah di Tingkatan 5, mesti segera melengkapkan diri dengan pengetahuan IT dan teknologi yang sesuai.

“Ini bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan memenuhi keperluan majikan yang memerlukan pekerja lebih cergas. Kumpulan baru pekerja perlu lebih cergas supaya dapat mengikuti perubahan teknologi yang sentiasa berkembang.

“Selain itu, kira-kira 8 juta pekerja di sektor swasta sekarang perlu ditingkatkan atau diberikan kemahiran baru supaya mereka boleh mengikuti perkembangan yang berlaku berikutan pengenalan IR 4.0,” katanya kepada FMT.

Shamsuddin mengulas kajian oleh firma penyelidikan industri, International Data Corporation (IDC), yang mendapati tenaga kerja masa depan Malaysia tidak bersedia untuk menghadapi IR 4.0.

Kajian itu mendapati, lebih 63% pelajar dan graduan baru gagal memahami IR 4.0, dengan 30% pelajar berkata, mereka berasa tidak bersedia sama sekali untuk berhadapan dengan persekitaran kerja IR 4.0.

Lebih separuh daripada graduan yang dikaji juga berasa bahawa organisasi sedia ada tidak bersedia untuk menerima generasi baru ke dalam pasaran tenaga kerja, dengan merujuk kepada keengganan syarikat mengguna pakai rangka kerja baru.

Shamsuddin berkata, kerajaan perlu membantu dalam pensijilan kemahiran pekerja, terutama mereka yang berada di peringkat lebih rendah bagi menggalakkan naik taraf dan pemerolehan kemahiran baru.

Beliau berkata, majikan, terutamanya majikan kecil dan sederhana serta mikro, harus dibantu dalam memperkenalkan teknologi dan automasi dalam operasi mereka supaya dapat mengikuti perubahan yang kini sedang berjalan.

“Tanpa bantuan dan insentif perlu daripada kerajaan, majikan kecil tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mendapatkan dan melaksanakan teknologi terkini dalam operasi mereka,” katanya.

Naib presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Nathan Suppiah berkata, IR 4.0 merupakan perkembangan terbaru dan graduan baru mungkin tidak mahir dengannya.

“Industri di Malaysia memerlukan masa untuk mengguna pakai teknologi terbaru kerana penggunaan segera bermakna kita memerlukan aset manusia yang sesuai serta kemampuan kewangan untuk melabur dalam pekakasan dan perisian terbaru, termasuk pengubahsuaian ke atas kemudahan kilang,” katanya.

“Selain itu, sektor pembuatan kita yang mewakili lebih 80% syarikat SME, agak berpuas hati dengan keadaan sedia ada. Ini merupakan salah satu sebab kenapa penggunaan robotik, kepintaran buatan dan sebagainya kurang mendapat sambutan.”

Nathan berkata, inisiatif kerajaan dalam memberikan keutamaan kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) boleh membantu menangani masalah jurang kemahiran.

Setiausaha Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra berkata, IR 4.0 merupakan istilah tumpuan baru dalam sektor pendidikan dan bertujuan mempersiapkan orang ramai untuk dunia automasi, kepintaran buatan, pengkomputeran awan, data raya dan sebagainya.

“Kreativiti dan kemahiran manusia memainkan peranan penting. Manusia tidak boleh menyaingi komputer dari segi pengetahuan. Universiti kini bergelut untuk mencari kaedah baru bagi mengejar keperluan IR 4.0.

“Universiti perlu mempunyai hubungan dengan pemain industri dan korporat bagi memahami keperluan industri dan bagaimana untuk mempersiapkan sumber manusia yang diperlukan,” katanya.

Tunku Munawirah berkata, walaupun tidak ada negara yang telah membangunkan dan melaksanakan dasar pendidikan kebangsaan yang sempurna, namun sebilangan mereka telah mengorak langkah ke arah itu, sementara yang naik sudah mempunyai plan startegik bagi mencapai tujuan tersebut.

Beliau memetik laporan Forum Ekonomi Dunia yang menyebut bahawa Singapura, Jepun dan Korea Selatan merupakan antara negara yang paling berjaya dalam mempersiapkan generasi muda mereka untuk dunia pekerjaan masa depan.

“Apabila Singapura mengumumkan bahawa ia bakal mengurangkan jumlah peperiksaan dan penilaian di sekolah rendahnya, kita tahu ia sudah mempunyai rancangan untuk menggantikan sistem lamanya.

“Kanak-kanaknya yang berumur 15 tahun ke bawah mengungguli carta dalam subjek kerjasama dan penyelesaian masalah.

“Walaupun kita bersetuju peperiksaan di peringkat sekolah rendah perlu dikurangkan, namun kita tidak pasti jika sistem yang menggantikannya akan menjadi lebih cekap atau memiliki data untuk membuktikan bahawa ia boleh menjadi lebih cekap.”