Mayat Nora Anne dituntut keluarga untuk dibawa pulang malam tadi

Laporan bedah siasat mendapati Nora Anne menemui ajal akibat kebocoran usus kerana tidak makan untuk tempoh terlalu lama dan tekanan berpanjangan.

SEREMBAN: Mayat remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, dituntut oleh keluarganya malam tadi untuk dibawa pulang.

Mayat Nora Anne dibawa keluar pada pukul 12.42 malam daripada Jabatan Perubatan Foresik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas semua urusan dokumentasi diselesaikan.

Ibu bapa remaja itu Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin bagaimana pun tidak kelihatan di pekarangan jabatan berkenaan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop.

“Saya dimaklumkan pegawai hospital bahawa mayat baru sahaja dituntut. Difahamkan mayat dibawa ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya.

Van yang membawa mayat remaja itu tiba di pekarangan jabatan itu pada pukul 12.38 diiringi beberapa anggota polis.

Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama 2 minggu dan mendaftar masuk di resort penginapan itu pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya. Mayat beliau ditemui pada Selesa lepas, selepas hilang selama 10 hari.

Laporan bedah siasat semalam mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.