NGO, kumpulan politik Melayu kena label rasis kerana ‘cepat melatah’, kata forum

Raggie Jessy (3 dari kanan) pada sidang media bersama GBN selepas forum hari ini.

SUBANG JAYA: Suatu forum yang dianjurkan oleh sebuah NGO hari ini menyeru peserta program jangan terlalu emosi apabila melawan DAP, kerana ia menyebabkan mereka nampak seperti rasis.

Di forum yang dihadiri kurang daripada 100 peserta itu, Pengerusi Bersama Gabungan Bangsa Nasional (GBN), Raggie Jessy Rithaudeen berkata beberapa pihak termasuk NGO dan kumpulan politik, baik dari kerajaan atau pembangkang, nampaknya tidak tahu bagaimana nak menangani isu semasa berdepan DAP.

“Mereka cuma nak hidupkan emosi membara dalam jiwa orang Melayu. Ini akan memakan diri,” katanya, dan menambah aktivis-aktivis yang emosi akan dijadikan contoh oleh pihak lawan.

“Nampak kita rasis bila lawan dengan emosi. Akal dan budi boleh jadi racun lebih berbisa yang mampu menusuk DAP,” katanya di forum Islam Mampu Kuburkan DAP hari ini.

Beliau memberi contoh beberapa isu yang gagal ditangani NGO Melayu dengan baik seperti isu Rang Undang-undang 355, yang mahu meningkatkan tahap hukuman terhadap pesalah kesalahan syariah, dan isu membabitkan institusi raja-raja dan Islam.

“Pihak lawan sebenarnya rasis dan ia perlu dilawan dengan fakta melalui akal dan budi untuk ‘menguburkan’ mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, Pengerusi Pertubuhan Karyawan Politik Malaysia, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad walaupun sudah berusia mampu berdepan DAP kerana “masih ada benteng”.

Beliau bagaimanapun bimbang dengan pengganti pengerusi PPBM itu nanti, sama ada Presiden PKR, Anwar Ibrahim mahu pun timbalannya, Azmin Ali.

“Kalaulah masih Mahathir sebagai perdana menteri, biarkan, tapi kalau Mahathir tidak ada, tolong kembali balik kepada Umno,” katanya.