Pindaan undang-undang tidak bantu atasi isu penukaran agama sepihak, kata pakar

Pensyarah UKM Faridah Jalil berkata, beliau tidak yakin pindaan perlembagaan akan menamatkan polemik berkaitan isu penukaran agama sepihak.

PETALING JAYA: Seorang pakar perlembagaan mempersoalkan cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang penukaran agama sepihak dalam kalangan kanak-kanak.

Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia Faridah Jalil berkata, beliau tidak yakin pindaan tersebut akan menamatkan polemik berkaitan isu itu.

Katanya kepada FMT, polemik itu juga tidak akan tamat dengan pindaan ke atas enakmen negeri Selangor bagi membenarkan penukaran agama sepihak.

“Prinsip undang-undang yang ketat tidak akan menghentikan konflik itu,” katanya, selain menyebut polemik tersebut terus berlaku, hatta selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tahun lepas bahawa penukaran agama sepihak dalam kalangan kanak-kanak adalah tidak sah.

Dalam kes M Indira Gandhi, mahkamah tertinggi itu memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah diperlukan untuk menukar agama kanak-kanak bawah umur, dengan berkata, perkataan “ibu bapa” dalam Perlembagaan Persekutuan membawa maksud kedua-dua bapa dan ibu.

Cadangan pindaan enakmen negeri Selangor mahu mengubah perkataan itu kepada “ibu atau bapa”.

Faridah berkata, undang-undang dan prosiding mahkamah harus dilihat sebagai jalan keluar yang menawarkan penyelesaian kepada isu yang berbangkit daripada perceraian kerana penukaran agama.

“Penyelesaian paling baik ialah melalui pengantaraan dan perundingan,” katanya.

Faridah mengulas kenyataan seorang peguam M Manoharan baru-baru ini yang mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengatasi masalah tersebut.

Manoharan berkata, beliau bimbang cadangan pindaan enakmen negeri Selangor itu akan mengatasi kes undang-undang Mahkamah Persekutuan kerana isu berkaitan pemelukan agama Islam terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Beliau merujuk kes melibatkan anak guamnya yang beragama Hindu yang isterinya memeluk agama Islam baru-baru ini.

Mahkamah memberikan hak penjagaan penuh ke atas semua anak mereka kepada anak guamnya.

Katanya, jika kerajaan negeri Selangor meneruskan pindaan tersebut, maka “tidak ada jaminan keselamatan” bagi kesemua anak anak guamnya yang beragama Hindu melainkan jika Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Faridah berkata, kebimbangan Mahoharan tidak bertempat.

Katanya, isu berkaitan jagaan, hak penjagaan, nafkah dan akses akan didengar oleh sebuah mahkamah sivil sekiranya anak-anak itu lahir dalam perkahwinan sivil.

“Agama anak-anak tidak harus dilibatkan kerana mereka hanya boleh memutuskan agama yang hendak diikuti setelah mencapai umur dewasa,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, mahkamah syariah perlu menggunakan takrif baru “ibu bapa” dalam enakmen Islam negeri sekiranya ia diluluskan.

Berikutan itu, pihak terbabit perlu memfailkan tindakan undang-unsang di mahkamah sivil atau syariah bagi menentukan keabsahan pindaan tersebut dari segi perlembagaan, kata beliau.

Katanya, makamah syariah boleh memutuskan bahawa ia tidak perlu mengguna pakai undang-undang yang tidak konsisten dengan prinsip syariah, sementara mahkamah sivil pula boleh membuat keputusan bahawa undang-undang itu tidak selari dengan perlembagaan.

Beliau berkata, proses itu mungkin berlanjutan selama beberapa tahun, selain menyebut bahawa kes Indira mengambil masa 10 tahun sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusannya.