Pusingan kedua Zakir Naik bersama polis pada Isnin

Zakir Naik.

KUALA LUMPUR: Polis akan menyambung semula prosedur merakam percakapan penceramah bebas Dr Zakir Naik pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata ia susulan permohonan penangguhan prosedur berkenaan oleh individu tersebut yang dibuat semalam kerana mahu berbuka puasa.

“Zakir meminta prosedur rakaman percakapannya yang dibuat semalam supaya ditangguhkan kerana ingin berbuka puasa.

“Beliau bagaimanapun akan kembali hadir memberi keterangan Isnin ini pada 3 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Zakir memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Penceramah bebas tersebut hadir di Bukit Aman selepas solat Jumaat dilihat meninggalkan ibu pejabat polis itu pada 8.15 malam tanpa memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Polis turut memaklumkan akan memanggil ahli perniagaan Khoo Yew Yin juga pada Isnin sementara Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.

Khoo dipanggil berhubung kenyataan dikeluarkan yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tan kerana kenyataan mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk “Islamisasi”.