Reman lelaki terlibat pergelutan maut di lebuh raya disambung hingga Khamis

Dalam kejadian pada 10 Ogos lepas, Syed Muhammad Danial Syed Syakir maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di KM 239 Lebuhraya PLUS berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

KUALA LUMPUR: Tempoh tahanan reman lelaki terbabit pergelutan berpunca daripada kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan seorang lelaki lain maut yang tamat hari ini, disambung 5 hari lagi sehingga Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata, isteri suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang pada 10 Ogos lepas, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, maut setelah berlaku perselisihan faham dalam kemalangan kecil di Kilometer 239 Lebuhraya Utara Selatan, Kajang, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.

Akibat kemalangan itu, polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.