Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Dari segi pertumbuhan bersih, prospek ekonomi Malaysia masih tidak menentu kerana momentum perbelanjaan pengguna tidak mungkin bertahan dalam keadaan sentimen yang lemah.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan dan bergerak dalam lingkungan antara 4.17 dan 4.19 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan sentimen terhadap kedua-dua unit itu kekal tidak menentu.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit bagaimanapun mengukuh sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat dalam persekitaran luaran yang lemah, didorong oleh pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ke-2 2019 lebih baik pada 4.9% berbanding unjuran 4.7%.

Sebahagian besar daripada prestasi KDNK itu disebabkan oleh perbelanjaan swasta.

“Eksport bersih meningkat pada kadar 2 angka dengan sebahagian besarnya didorong oleh penguncupan import.

“Oleh itu dari segi pertumbuhan bersih, prospek masih tidak menentu kerana momentum perbelanjaan pengguna tidak mungkin bertahan dalam keadaan sentimen yang lemah.

“Dalam persekitaran sedemikian, ringgit/dolar AS dijangka kekal lemah pada minggu depan dengan kadar tukarannya sekitar RM4.17-RM4.19 berikutan usaha mengelak risiko akan terus ketara,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran tempatan menyaksikan aliran dagangan tidak menentu dengan minat terhadap risiko kebanyakannya dipengaruhi oleh faktor luaran, khususnya perkembangan perang perdagangan AS-China.

Pasaran tempatan ditutup pada Isnin bersempena Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Ahad.

Ringgit mengakhiri minggu ini dengan mengukuh pada 4.1760/1810 berbanding 4.1830/1860 pada Jumaat susulan pengumuman KDNK itu.

Ia turut didagangkan lebih kukuh berbanding kebanyakan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0097/0140 daripada 3.0259/0285 pada Jumaat lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 3.9230/9288 daripada 3.9522/9561 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6283/6346 daripada 4.6858/6908.

Unit tempatan itu bagaimanapun rendah berbanding pound Britain kepada 5.0763/0828 daripada 5.0763/0828 berikutan faktor perkembangan terbaharu membabitkan Brexit selain pakej rangsangan oleh Bank Pusat Eropah yang turut mendorong pengukuhan pound.