Saman Ukraine atas tragedi MH17, kata peguam

Gurdial Singh Nijar, ketua Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia.

GOMBAK: Seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia, Gurdial Singh Nijar mencadangkan ahli keluarga mangsa tragedi MH17 membuat saman terhadap Ukraine dan mempertanggungjawabkan negara di mana pesawat itu ditembak jatuh.

MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu dan terhempas di timur Ukraine, kawasan pertempuran antara kerajaan Ukraine dan puak pemisah yang disokong Rusia. Siasatan antarabangsa mendapati 3 warga Rusia dan seorang warga Ukraine bertanggungjawab.

Gurdial berkata kerajaan persekutuan, menerusi Jabatan Peguam Negara, boleh menyokong saman seperti itu, mengambil contoh saman yang kerajaan persekutuan buat terhadap Kelantan kerana gagal menangani kebajikan Orang Asli di negeri itu.

“Mungkin ini satu laluan yang perlu diteroka,” katanya pada sidang media mengenai tragedi MH17 hari ini.

Gurdial, yang mengetuai Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam), tampil mewakili kerajaan persekutuan dalam saman terhadap Kelantan itu.

Beliau membuat cadangan itu ketika bercakap sebagai ahli panel di persidangan tentang mendapatkan keadilan untuk ahli-ahli keluarga mangsa MH17.

Beliau berkata kerajaan Ukraine antara lain tidak memberi amaran atau menutup ruang udara kawasan pertempuran di utara Ukraine. Persoalan timbul sama ada kerajaan Ukraine memenuhi kewajipannya.

Beliau berkata dalam tindakan sivil, litigan cuba mempertanggungjawabkan kerajaan sesebuah negara dari segi gagal mengambil langkah-langkah pencegahan dan memberi amaran kepada syarikat-syarikat penerbangan agar tidak terbang di kawasan pertikaian, mengikut Konvensyen Montreal.

“Sama ada kita berjaya atau tidak itu perkara lain. Sekurang-kurangnya, akan ada ruang publisiti secukupnya dan mengeluarkan naratif-naratif alternatif tentang negara yang akan bertanggungjawab,” kata Gurdial.

Seorang speaker di persidangan itu, peguam John Philpot dari Kanada, menyuarakan keraguan mengenai perbicaran bunuh 3 warga Rusia dan seorang warga Ukraine atas dakwaan menembak jatuh MH17.

Beliau berkata seorang rakannya dari Belanda menggambarkan perbicaraan itu sebagai cubaan oleh kerajaan Belanda menulis sejarah. “Mereka tahu mereka tak boleh mendapatkan lelaki-lelaki itu, dan perbicaraan itu akan diadakan tanpa kehadiran mereka dan tiada orang boleh membalas bukti-bukti itu nanti,” katanya.

Empat tertuduh itu adalah Igor Girkin, Serget Dubinsky dan Oleg Pulatov iaitu warga Rusia yang pernah berkhidmat dalam tentera dan perisikan, dan Leonid Kharchenko, seorang komander warga Rusia.