Saya tidak akan minta maaf, sedia hadapi saman fitnah Zakir, kata Kula

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran hari ini berkata, beliau tidak berniat meminta maaf berhubung kenyataan beliau terhadap Dr Zakir Naik.

“Jumpa anda di mahkamah,” katanya kepada penceramah kontroversi itu yang mengancam untuk memfailkan saman fitnah terhadap beliau.

“Satu notis tuntutan bahawa saya memfitnah Zakir Naik diserahkan ke pejabat kementerian saya semalam.

“Dalam surat itu, peguam Zakir memberi saya tempoh 48 jam supaya menarik balik kenyataan saya, meminta maaf dan membayar ganti rugi.

“Ingin diulangi bahawa saya mempertahankan kenyataan yang dibuat sebelum ini dan saya tidak akan sesekali meminta maaf kerana bersuara bagi pihak rakyat Malaysia,” kata Kula.

Zakir dilaporkan mendakwa ada rakyat Malaysia berketurunan India lebih setia kepada kerajaan Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mendakwa, rakyat Malaysia berketurunan Cina merupakan “tetamu lama” yang harus kembali ke negara asal nenek moyang mereka.

“Kenyataan Zakir adalah tidak wajar sama sekali dan jelas menunjukkan niatnya untuk menyemai perselisihan dalam negara kita yang majmuk.

“Keharmonian yang kita nikmati merupakan khazanah Malaysia yang tidak harus dikorbankan untuk mana-mana orang, apatah lagi untuk seseorang dengan reputasi seperti Zakir Naik,” kata ahli Parlimen Ipoh Barat dan naib pengerusi DAP itu.

Kula berkata, beliau tidak akan melarikan diri ke negara lain berikutan saman fitnah tersebut.

“Saya kini berada di Jepun kerana urusan rasmi. Sebaik pulang ke Malaysia, saya akan mempertahankan diri tanpa takut terhadap saman fitnah yang tidak berasas itu.

“Saya menyambut baik peluang untuk berdepan dengan ketaksuban dan sentimen anti Malaysia bagi pihak rakyat yang mengundi saya dan bergantung pada saya dalam mempertahankan negara ini.”

Kula mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia daripada semua kaum dan latar belakang yang mengirim pesanan sokongan kepadanya.

Beliau berjanji untuk menghalang mana-mana orang yang menggugat perpaduan rakyat.

Semalam Zakir membuat laporan polis terhadap Kula, timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy; ahli Parlimen Klang Charles Santiago; ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta, Dennis Ignatius dengan mendakwa mereka membuat kenyataan fitnah terhadap beliau.

Ramasamy dan Santiago menyambut baik saman tersebut dan berkata, mereka bersedia menghadapi Zakir di mahkamah.

Juga semalam, Zakir menghabiskan masa 5 jam memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berhubung ucapannya. Beliau dijangka pergi ke ibu pejabat polis itu Isnin bagi menyambung kenyataannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed dalam satu kenyataan hari ini berkata, Zakir disiasat kerana mengakibatkan celaan sengaja bagi mencetuskan pecah keamanan.

Beliau berkata, pemeriksaan polis semalam ditangguhkan atas permintaan Zakir untuk berbuka puasa. Zakir ditemani peguamnnya Akberdin Abdul Kader semasa pemeriksaan dari jam 3 ptg hingga 7 mlm.

Zakir disiasat berhubung satu klip video yang menunjukkan beliau mendakwa ada penganut Hindu di Malaysia yang tidak menyokong Dr Mahathir Mohamad, tetapi lebih setia kepada perdana Menteri India Narendra Modi.

Beliau juga disiasat berkait satu laporan media yang menyebut bahawa Zakir memberitahu orag Cina di Malaysia supaya meninggalkan negara ini, kata kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan sama, Huzir berkata, siasatan juga dijalankan berkait kenyataan pengerusi Jawatankuasa Persatuan Sekolah Persendirian Cina Tan Kai Kim, yang lebih dikenali dengan nama Dong Zong. Tai mungkin dipanggil untuk memberi kenyataan.

Beliau berkata, seorang pesara membuat laporan polis selepas membaca media sosial yang memetik kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyfatkan Dong Zong sebagai sebuah persatuan rasis kerana mendakwa kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk Islamisasi.

Huzir berkata, polis juga dijadual merekodkan kenyataan taikun, Koon Yew Yin dari Ipoh pada 19 Ogos berhubung aduan seorang anggota tentera bersara di Bidor bahawa Koon menghina angkatan tentera Malaysia dalam blog beliau.