Warga emas 65 tahun miliki koleksi Hot Wheels RM300,000

Siapa sangka lelaki berusia 65 tahun merupakan pengumpul tegar Hot Wheels di Malaysia.

Chia Joon Hock atau lebih dikenali sebagai Uncle Hot Wheels mempunyai minat tersebut sejak 16 tahun lalu.

Malah beliau sanggup menyewa sebuah rumah semata-mata untuk mempamerkan barisan kereta berskala kecil itu.

Cerita Uncle Hot Wheels ini sampai ke pengetahuan Hot Wheels Amerika sehinggakan ketua pereka Hot Wheels, Steve Vandervate yang kebetulan berada di Art of Speed 2019 turun padang sendiri untuk melihat koleksi beliau.

Bercerita tentang minatnya, beliau berkata ia bermula pada 2003 apabila abangnya menghadiahkan sebuah “diecast Ferrari” berskala 1:18.

Daripada situ, minatnya berkembang sehinggakan Uncle Hot Wheels itu sanggup berkunjung ke kedai serbaneka 7 Eleven semata-mata untuk mencari kereta itu.

Selepas itu beliau juga sering ke Armcorp Mall, Petaling Jaya yang lebih dikenali sebagai lubuk mainan di kalangan pengumpul.

Dianggarkan koleksi “diecast” yang telah dikumpulnya dari seluruh dunia (termasuklah Jepun dan Amerika) sehingga kini bernilai antara RM200,000 sehingga RM300,000 mengikut nilai pasaran semasa!

Antara koleksi yang paling berharga adalah Nissan Skyline Sweet Rods Premium Series yang dianggarkan nilainya mencecah RM800.

Untuk menyimpan dan mempamerkan segala koleksi kereta miniatur yang dibelinya, Uncle Hot Wheels menggunakan kepakarannya sebagai seorang bekas jurutera menghasilkan sendiri rak-rak khas.

Hasilnya, memang terbaik!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]