2 anggota polis ditahan dalam siasatan kes perat ugut

GEORGE TOWN: Dua anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu laporan polis oleh seorang pemandu lori yang mendakwa diperas ugut 2 lelaki berkenaan dalam kejadian di Balai Polis Jelutong semalam.

Ketua Polis Timur Laut, Che Zaimani Che Awang berkata anggota berpangkat L/Kprl dan Konstabel masing-masing berusia 28 serta 25 tahun itu ditahan kira-kira 6 petang tadi di Balai Polis Jelutong.

“Polis hari ini menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 32 tahun yang mendakwa diperas ugut 2 anggota polis berkenaan dalam kejadian 10 pagi semalam semasa dia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kerja menulis nombor ekor haram,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, lelaki itu ditahan 2 anggota polis berkenaan ketika dia menunggu rakannya di tepi jalan Lorong Hijau 3, Jelutong sebelum mereka memeriksa telefon bimbit serta barangan peribadi milik mangsa.

Beliau berkata seorang anggota polis itu memeriksa kandungan dalam telefon bimbit lelaki tersebut sebelum memaklumkan terdapat resit nombor ekor haram, namun lelaki itu tidak pasti sama ada benar terdapat resit berkenaan.

Che Zaimani berkata 2 anggota polis yang masing-masing menunggang motosikal itu mengarahkan lelaki berkenaan mengikut mereka ke Balai Polis Jelutong dan semua barang termasuk telefon bimbit disimpan anggota tersebut.

Menurutnya, sebaik sampai di Balai Polis Jelutong, anggota berkenaan membawa mangsa masuk ke dalam satu bilik dan memberitahu jika kes itu dibawa ke mahkamah lelaki tersebut boleh dikenakan denda RM12,000 dan jika mahu selesaikan perlu membayar RM2,000 kepada mereka.

“Mangsa memaklumkan dia hanya mempunyai RM200 sahaja dan anggota polis berkenaan menyuruh lelaki itu ke bank untuk mengambil duit, setelah pulang dia memaklumkan hanya terdapat RM400 serta menyerahkan kepada 2 anggota polis tersebut sebelum barang-barangnya diserahkan semula dan dibenarkan balik,” katanya.

Katanya, lelaki itu membuat laporan polis hari ini selepas dinasihatkan oleh keluarganya dan susulan itu, polis menahan 2 anggota yang bertugas sebagai anggota ronda di Balai Polis Jelutong.