Bekam: Alternatif rawatan yang berkesan?

Bekam satu amalan tradisional yang diamalkan dalam pelbagai budaya seluruh dunia.

Amalan ini melibatkan penggunaan cawan khas yang telah dikeluarkan udaranya untuk menghasilkan ruang udara bertekanan rendah seperti sedutan atau ruang separa vakum dan diletakkan atas permukaan kulit.

Namun, persoalannya adakah ia merupakan rawatan alternatif yang berkesan?

Rawatan alternatif

Sebelum kita berbicara mengenai bekam, apa kata kita fahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan rawatan alternatif.

Rawatan atau perubatan alternatif adalah istilah yang menggambarkan rawatan perubatan yang digunakan bukan dari perubatan arus perdana.

Sesetengah individu merujuk rawatan ini sebagai ubat “integrative” atau “pelengkap”.

Lebih separuh individu dewasa di Amerika Syarikat mengatakan bahawa mereka menggunakan beberapa ubat-ubatan alternatif.

Tetapi apakah jenis terapi yang dianggap sebagai rawatan alternatif?

Akupuntur

Merupakan satu teknik rawatan tradisional Cina yang menggunakan jarum untuk merangsang titik-titik tertentu pada bahagian badan.

Tujuan rawatan ini dilakukan adalah untuk membantu proses penyembuhan semula jadi badan.

Beberapa kajian mendapati rawatan akupuntur berkesan untuk merawat beberapa keadaan seperti sakit pada bahagian leher dan belakang badan, rasa mual, kegelisahan, kemurungan, insomnia, ketidaksuburan dan banyak lain.

Perubatan Ayurveda

Merupakan antara kaedah rawatan perubatan alternatif tertua di dunia.

Ia bermula di India lebih daripada 3,000 tahun yang lalu dan masih banyak digunakan di negara tersebut.

Namun, tidak banyak kajian atau penyelidikan klinikal yang mencukupi untuk menyokong keberkesanan rawatan terapi ini.

Jadi bagaimana pula dengan rawatan bekam ini? Apakah fungsinya? Dan adakah ia benar-benar berkesan untuk merawat masalah kesihatan? Ikuti kupasan seterusnya.

Apa itu bekam?

Berbekam ialah mengeluarkan bahan kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah atau menoreh sedikit pada tubuh seseorang.

Cara tradisi ini dipercayai untuk mengeluarkan bahan kotor daripada badan melalui cara tersebut dengan menggunakan tanduk atau cawan yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah atau ditoreh itu.

Ia adalah sejenis rawatan alternatif kuno yang telah digunakan sejak zaman Mesir Purba dan China.

Di dalam sebuah buku perubatan kuno iaitu Ebers Papyrus, terdapat penjelasan tentang bagaimana orang Mesir menggunakan kaedah bekam pada tahun 1550 sebelum Masihi.

Terdapat dua pendekatan untuk memahami mekanisma bekam, iaitu:

Dari perspektif Perubatan Tradisional Cina, bekam dipercayai mengawal aliran chi dan keseimbangan yin dan yang. Mempunyai persamaan dengan akupunktur.

Dari perspektif perubatan barat, bekam dipercayai memberi tekanan fizikal yang merangsang refleks neural dan tindak balas endokrin.

Bekam dilakukan dalam dua kaedah – kering dan basah

Dalam kedua-dua kaedah, sejenis cawan akan dilekapkan di atas kulit dan tekanan negatif di dalam cawan akan diwujudkan sama ada menggunakan teknik pembakaran (lama) atau penyedut (moden).

Cawan tersebut kebiasaannya dibiarkan selama 3 minit.

Dalam kaedah basah, cawan akan diangkat dan bahagian kulit yang terbabit akan dicucuk atau dipotong dengan potongan kecil menggunakan jarum atau pisau.

Kemudian, cawan diletakkan semula untuk menyedut sejumlah kecil darah di kawasan berkenaan.

Beberapa cawan mungkin digunakan dalam satu masa.

Selepas bekam selesai, anda mungkin diberikan krim antibiotik dan pembalut untuk mengelakkan jangkitan.

Kulit akan kembali kelihatan seperti asal dalam 10 hari.

Individu yang ingin melakukan rawatan alternatif bekam ini mesti berumur antara 10 hingga 65 tahun.

Manakala bagi individu berumur melebihi 65 tahun, bekam boleh dilakukan sekiranya mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Walaupun rawatan berbekam ini boleh dilakukan pada mana-mana bahagian pada badan, namun, sebenarnya, terdapat beberapa bahagian badan yang tidak boleh dilakukan rawatan ini, terutamanya pada bahagian di mana kulit mengalami kecederaan, kerengsaan atau keradangan.

Selain keadaan kulit yang dinyatakan di atas, rawatan berbekam ini juga tidak boleh dilakukan pada bahagian yang terdapat saluran darah arteri, denyutan nadi, kelenjar limfa, mata atau bahagian yang sedang mengalami patah tulang.

Mengikut kaedah perubatan moden, rawatan alternatif ini tidak bersesuaian dengan fakta sains dan ia berkemungkinan berisiko untuk membawa lebih banyak kemudaratan daripada manfaat.

Jenis-jenis bekam

Bekam kering atau bekam angin

Peralatan bekam hanya diletakkan di atas permukaan kulit tanpa torehan kulit dan tidak berlaku pendarahan.

Bekam ini biasanya digunakan untuk mengatasi rasa sakit yang disebabkan oleh reumatik dan rasa sakit di bahagian punggung.

Bekam jenis ini akan meninggalkan bekas seperti lebam berwarna merah kehitaman dan akan hilang beberapa hari kemudian.

Bekam basah

Kaedah ini melibatkan peralatan bekam yang diletakkan di atas permukaan kulit yang telah ditoreh dan cawan khas digunakan untuk mengeluarkan darah kotor melalui torehan itu.

Biasanya ia dilakukan selama 3 hingga 5 minit dan tidak melebihi 9 minit.

Penyedutan darah hanya boleh dilakukan sehingga 7 kali sahaja dan tidak boleh melebihi jumlah maksimum itu.

Kebiasaannya jenis bekam ini akan mengeluarkan darah berwarna merah kehitaman dan berbuih.

Bekam api

Ia juga dikenali sebagai Fire Cupping iaitu menggunakan medium api sebagai bahan untuk membuat ruangan pada alat penyedut.

Bekam jenis ini dilakukan dengan gelas yang direka bentuk khas untuk membuat ruang hampagas pada kawasan bekam.

Udara di dalam gelas dibakar dengan menggunakan kertas atau kapas, kemudiannya gelas diletakkan atas permukaan kulit.

Manfaat Bekam

Bekam dilakukan sebagai rawatan untuk beberapa masalah kesihatan berikut:

  • Gangguan darah, seperti anemia dan hemofilia
  • Penyakit rematik, seperti arthritis dan fibromyalgia
  • Kesuburan dan gangguan berkait dengan ginekologi
  • Masalah kulit, seperti ekzema dan jerawat
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi)
  • Migrain
  • Keresahan dan depresi
  • Ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan sendi kaki
  • Memecahkan lemak

Adakah terdapat kesan sampingan?

Dalam setiap rawatan, penjagaan kebersihan peralatan sangat penting bagi mengelakkan berlakunya kesan sampingan.

Kaedah bekam yang tidak betul boleh menyebabkan jangkitan dan penularan penyakit bawaan darah seperti HIV/AIDS, Hepatitis B dan Hepatitis C akibat penggunaan peralatan yang tidak disteril.

Bekam secara amnya adalah selamat selagi mana ia dilakukan oleh ahli profesional terlatih.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]