Belajar dari Hadi tentang hubungan antara kaum, agama, penyokong PAS tegur Naik

Zakir Naik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penyokong PAS dalam kalangan orang bukan Islam menegur ucapan Dr Zakir Naik yang menyentuh kepercayaan, kesetiaan dan kewarganegaraan masyarakat bukan Islam tempatan, dan menyeru penceramah itu mendapatkan nasihat dan pandangan presiden mereka, Abdul Hadi Awang tentang hubungan antara kaum dan agama.

Dewan Himpunan Penyokong PAS berkata masyarakat bukan Islam di Kelantan dan Terengganu yang ditadbir parti mereka hidup aman, damai dan harmoni kerana PAS menghormati adat dan kepercayaan semua kaum, dan mengekalkan semangat toleransi yang diamalkan sejak sekian lama.

“Rakyat bukan Islam di Kelantan dan Terengganu tidak diketepikan, mereka diberi kepercayaan dalam kerajaan negeri,” katanya, menjawab laporan mengenai Naik baru-baru ini.

Naik mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Anda tahu ada orang gelar saya tetamu. Jadi saya kata, sebelum saya, Orang Cina ialah tetamu. Jika anda mahu tetamu baru pulang, suruh tetamu lama pulang,” katanya dipetik Malaysiakini dalam satu ceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu.

Penyokong PAS berkata ia tidak mempertikaikan status pemastautin tetap Naik, hanya meminta penceramah dari India itu menghormati “suasana berbeza” di Malaysia dan tidak mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini sentiasa menjaga hubungan baik yang terjalin dalam masyarakat majumuk di negara ini bagi memastikan kelangsungan hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya.

Kenyataan ini beberapa hari selepas Hadi tampil mempertahankan Naik daripada pengkritik yang mempersoalkan kelayakan penceramah itu bercakap tentang perbandingan agama.

Hadi berkata mereka yang menyeru Naik dihantar pulang sudah kehabisan isu.

“Hujah untuk bertindak ke atasnya wajib ditolak kerana dia tidak membawa senjata untuk mengganas. Hentikanlah mencipta hujah yang tiada kaitan,” katanya.