Exco: Perak tidak halang penceramah bebas, termasuk Zakir Naik

Exco Perak Asmuni Awi berkata, setakat ini tiada sebarang permohonan untuk membawa Dr Zakir Naik ke negeri itu. (Gambar Bernama)

SERI ISKANDAR: Kerajaan negeri Perak tidak menghalang mana-mana penceramah bebas, termasuk Dr Zakir Naik untuk menjalankan aktiviti di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah negeri Asmuni Awi berkata, pihaknya perlu meneliti setiap permohonan program yang diadakan bagi memastikan tujuannya tidak menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

“Setakat ini tiada sebarang permohonan untuk membawa Dr Zakir ke Perak jadi tidak timbul soal Perak membenarkan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat tahunan Amanah Kawasan Parit di Seri Iskandar hari ini yang disempurnakan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Asmuni yang juga pengerusi Amanah Perak berkata, pihaknya akan hanya menentukan kelulusan kebenaran sekiranya terdapat permohonan penceramah bebas itu di negeri ini.

“Kalau ada kita kena lihat siapa yang memohon dan apa tujuannya bukan sahaja membabitkan Dr Zakir, tetapi mana-mana pihak dengan mengambil kira lokasi program sama ada di masjid atau tempat awam,” katanya.

Jumaat lepas, Dr Zakir memberi keterangan polis di ibu pejabat polis, Bukit Aman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam susulan beberapa kenyataan kontroversi beliau ketika berceramah di Kelantan.