Henti seru Dr M berundur, Anwar beritahu ahli parti

Anwar Ibrahim.

SHAH ALAM: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini menggesa ahli partinya tidak mengeluarkan kenyataan menggesa Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri.

Beliau berkata konsensus pimpinan Pakatan Harapan mengenai penyerahan kuasa perdana menteri kepadanya apabila tiba masanya nanti masih kekal.

Beliau berkata terdapat cubaan untuk mensabotaj peralihan kuasa itu.

“Setakat apa yang saya dan Mahathir tahu, tiada apa yang berubah,” katanya ketika ditanya mengenai Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Kasim menyeru perdana menteri berundur.

Hassan meminta Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar kerana jelas beliau tidak dapat menangani banyak isu yang muncul, termasuk isu kaum dan agama.

Mengenai Dr Zakir Naik, Anwar berkata kepimpinan tertinggi parti belum bertemu dan menentukan pendirian mereka mengenai penceramah kontroversi itu.

“Saya ada pandangan tersendiri tapi saya nak dengar pandangan pemimpin lain. Kita akan bertemu pada Rabu,” katanya, dan menambah dia tidak perlu bertemu Naik untuk mendengar penjelasannya.

“Saya akan baca semua (laporan),” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution berkata PKR menunggu Anwar pulang dari Mekah sebelum membuat pendirian rasmi berhubung isu Naik.

Naik mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Anda tahu ada orang gelar saya tetamu. Jadi saya kata, sebelum saya, Orang Cina ialah tetamu. Jika anda mahu tetamu baru pulang, suruh tetamu lama pulang,” katanya dipetik Malaysiakini dalam satu ceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu.

Merasmikan sebuah konvensyen hari ini, Anwar berkata penting untuk semua orang menguasai bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain.

“Isu khat itu remeh berbanding memperkasa dan memartabat penguasaan bahasa Melayu untuk semua dan membaiki mutu pendidikan,” katanya.

“Ambil sikap terbuka menguasai bahasa lain, dan berhubung baik dengan semua kaum,” tegasnya.

Kumpulan pendidikan Cina dan Tamil membantah pengenalan kepada tulisan Jawi di sekolah-sekolah aliran, mengatakan ia tidak membantu pelajar menambahbaik penguasaan bahasa Melayu.