Kerajaan ikut pandangan saintis, PM jawab lanjutan lesen Lynas

Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan dibenarkan terus beroperasi untuk tempoh tertentu berdasarkan pandangan pakar. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan keputusan melanjutkan lesen operasi Lynas bagi tempoh tertentu berdasarkan dapatan saintis dan pakar.

“Kita tak pergi dengan pandangan popular,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

“Pakar kata tak bahaya. Apa yang pakar kata tak bahaya, kita pula kata bahaya.”

Pada Khamis, Putrajaya mengumumkan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd dilanjutkan, tetapi tempoh itu dipendekkan kepada 6 bulan berbanding kebiasaan 3 tahun.

Pengumuman Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menamatkan spekulasi berhubung nasib kilang pemprosesan nadir bumi itu di Gebeng, Kuantan.

Mengenai sisa yang dihasilkan oleh kilang Lynas, Mahathir berkata ia tidaklah sebahaya sisa Chernobyl, merujuk kepada kawasan di Ukraine yang tercemar akibat bencana nuklear pada 1986.

“Kita ikut apa kata pakar, mereka yang tahu apa yang bahaya,” katanya.

“Lagipun kita tak boleh bawa keluar (sisa) tersebut. Tak ada negara yang nak terima. Kita juga tak boleh buang ke laut, nanti hidupan semua mati.”

Mengenai bantahan beberapa pihak terhadap keputusan kerajaan melanjutkan lesen Lynas, Mahathir menarik perhatian kepada bantahan terhadap keputusan membina Jambatan Pulau Pinang pertama pada 1982.

“Ingat lagi jambatan Pulau Pinang dahulu? Apa yang mereka cakap? Jangan bina, tapi selepas itu mereka mahu dan bina jambatan Pulau Pinang yang kedua pula,” katanya.

Perdana menteri percaya para pekerja Lynas sedar dan tahu adakah kegiatan mereka berbahaya pada diri sendiri atau tidak.

“Mereka tak merungut,” katanya.

Hari ini, kira-kira 500 orang menunjuk perasaan di Taman Gelora, Kuantan membantah keputusan kerajaan membenarkan operasi Lynas.

Perhimpunan turut dihadiri Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack; Adun Teruntum, Sim Chon Siang dan Adun Semambu, Lee Chean Chung.