Kontroversi Zakir Naik kikis jurang dalam kalangan orang Islam?

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menaikkan gambar pertemuannya dengan pemimpin kanan PAS seperti Hashim Jasin dan Ahmad Ali di Facebook beliau. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketika Dr Zakir Naik berdepan tuduhan mencetuskan perpecahan dan menyemai syak wasangka dalam kalangan rakyat Malaysia, perkembangan berbeza kelihatan berlaku dalam kalangan orang Melayu-Islam.

Di satu pihak, penceramah kontroversi warga India itu dan pemimpin komuniti bukan Islam di negara ini terbabit dalam perang mulut antara mereka.

Namun begitu di pihak yang lain, 2 kelompok Islam yang saling berselisih menampakkan tanda-tanda kerjasama yang jarang berlaku apabila mereka bersama-sama mempertahankan Zakir susulan liputan meluas media mengenai ucapan terbaru beliau.

“Satu kumpulan menyokong mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin. Beliau mewakili aliran Islam yang kadang-kadang bercanggah dengan amalan tradisi Islam Malaysia.

“Kumpulan satu lagi adalah kelompok konservatif, yang meliputi hampir kesemua tokoh politik, dan mewakili arus perdana Islam di negara ini,” kata seorang pemerhati gerakan Islam tempatan semasa.

Beliau berkata, kata-kata lunak Asri kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang berikutan langkah Hadi mempertahankan Zakir sudah memadai bagi memungkinkan 2 kelompok itu mengetepikan perbalahan antara mereka, terutamanya di Perlis.

Asri bersikap kritikal terhadap kerajaan, tetapi tidak pernah menyembunyikan kekagumannya kepada Dr Mahathir Mohamad selepas perdana menteri itu menolak gesaan supaya Zakir dihantar pulang ke India.

Jumaat lepas, Asri menyambut baik kenyataan Hadi yang mempertahankan Zakir, malah menggunakan ucapan hormat yang biasanya hanya digunakan oleh ahli PAS terhadap pemimpin mereka itu.

“Semoga Allah memberikan pahala dan ganjaran yang besar kepada Tuan Guru Datuk Seri presiden PAS. Kami bersama-sama Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) dalam isu ini,” katanya di Facebook.

Tiga bulan lepas, Asri dan penyokong PAS di Perlis saling mengecam satu sama lain apabila 3 ahli parti itu didakwa membakar kereta rasmi milik mufti tersebut.

Sebelum ini penyokong PAS kerap menuduh Asri membawa aliran Salafi, dakwaan yang sukar dinafikan penyokong beliau.

Kritikan Asri terhadap rancangan PAS yang mahu melaksanakan hukuman hudud merupakan sebahagian daripada pertikaian antara mereka.

Asri bagaimanapun berpengaruh besar di Perlis dan di luarnya. Beliau rapat dengan keluarga diraja negeri itu dan ahli politik kerajaan serta parti pembangkang.

Walaupun tidak memegang jawatan politik, ulasan beliau berhubung isu semasa, menyebabkan Asri disokong dan juga dimusuhi.

Namun sokongan kuatnya kepada Zakir Naik menjadi penentu sempadan kawan dan lawan.

Pemerhati politik Melayu, Kamarul Zaman Yusoff bersetuju tentang jangkauan pengaruh Asri.

“Ramai yang tidak sedar tentang ketokohan Asri. Beliau mempunyai banyak penyokong di seluruh negara, bukan sahaja dalam kalangan orang awam, tetapi juga pemimpin politik, malah keluarga diraja,” kata pensyarah di Universiti Utara Malaysia itu kepada FMT.

“Jadi anda tidak boleh mengetepikan kata-kata Asri sebagaimana anda boleh mengetepikan kata-kata PAS.”

Kamarul berkata, sokongan Asri kepada Hadi dalam isu Zakir Naik adalah penting, selain pertemuannya dengan pemimpin tertinggi PAS seperti Hashim Jasin dan Ahmad Ali.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan bagaimana Zakir, penceramah Islam terkenal yang berdepan pertuduhan pengubahan wang di India, boleh berperanan sebagai titik temu bagi ahli politik dan orang ramai mengidentifikasikan diri mereka pertama-tamanya sebagai orang Islam.

“Ini termasuklah mereka yang berada dalam PPBM, Umno dan PKR,” katanya.

“Dengan merapatkan golongan konseratif Islam, isu Zakir Naik akan menguatkan PAS. Lebih penting, ia boleh menimbulkan pergeseran dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) di peringkat akar umbi dan juga kepimpinannya.”

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi berkata, ketidakjelasan pendirian kerajaan dalam isu Zakir Naik, selain kenyataan perdana menteri yang kerap berubah akan memberi kelebihan kepada PAS dan Umno.

Pada Jumaat, Mahathir mengejutkan banyak pihak dengan berkata, status Zakir sebagai pemastautin tetap boleh ditarik balik sekiranya beliau menimbulkan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

“Isu Zakir Naik sepatutnya ditangani lebih awal. Kerajaan membenarkan ia berkembang” kata Awang Azman.

Beliau berkata, isu berkaitan penceramah itu hanya boleh diselesaikan dengan keputusan tegas daripada Mahathir.

Beliau bagaimanapun percaya, kontroversi Zakir Naik semakin menjauhkan orang Melayu daripada pakatan kerajaan, yang dilihat sukar mengekalkan sokongan golongan itu.

Dalam pada itu, Mahathir juga dilihat bermain politik, termasuk langkah mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang Melayu.