Lebih baik tak bawa Zakir Naik ke P Pinang, kata mufti

Wan Salim Mohd Noor. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Mohd Noor berkata lebih baik tidak membawa penceramah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik untuk berceramah di negerinya buat masa sekarang.

Beliau berkata ceramah beliau sering menimbulkan kontroversi dan dijadikan bahan polemik oleh pihak tertentu.

“Dibimbangi ia berpotensi menggugat keharmonian masyarakat yang berbeza etnik dan agama. Justeru, lebih baik dan bijaksana sekiranya beliau tidak dibawa untuk menyampaikan ceramah di negeri ini buat masa sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Wan Salim berkata beliau secara peribadi merasakan tidak perlu melibatkan penceramah asing untuk berdakwah kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang.

“Ramai ustaz-ustaz dan ulama tempatan yang mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik,” katanya.

Bagi tujuan berdakwah kepada golongan bukan Islam, Wan Salim mengingatkan penganjur perlu memohon tauliah daripada Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang.

“Selain itu andainya beliau dijemput juga kerana ada pihak yang ingin mendengar ceramah beliau maka sebaik-baiknya ia diadakan di tempat yang tertentup untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Exco Agama dan Pendidikan Islam Perak, Asmuni Awi berkata kerajaan negeri tidak menghalang Naik untuk menjalankan aktiviti di Perak.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti setiap permohonan program bagi memastikan tujuannya tidak menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam, lapor Bernama.

Naik mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Anda tahu ada orang gelar saya tetamu. Jadi saya kata, sebelum saya, Orang Cina ialah tetamu. Jika anda mahu tetamu baru pulang, suruh tetamu lama pulang,” katanya dipetik Malaysiakini dalam satu ceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu.