PAS-Umno perguna Zakir Naik untuk agenda politik, kata Khalid

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad (tengah) selepas melancarkan satu acara ‘town hall’ di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, Umno dan PAS cuba “mempergunakan” penceramah kontroversi warga India Dr Zakir Naik untuk agenda politik mereka.

“Kita ambil pendekatan mahu menyelamatkan dan memberi perlindungan kepada beliau.

“Jika kita berfikir tentang kepentingannya (Zakir), kita tidak akan mempergunakan beliau untuk meraih mata politik. Mereka yang cuba mempergunakan beliau bermain dengan sentimen agama,” katanya selepas melancarkan satu acara “town hall” di Kampung Baru hari ini.

Khalid diminta mengulas rancangan untuk mengadakan satu perhimpunan yang dibuat oleh ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Terdahulu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan selain membenarkan Zakir menetap di Malaysia kerana negara lain tidak berminat menerima beliau.

Beliau dikehendaki oleh kerajaan India berhubung dakwaan pengubahan wang.

Khalid juga memberitahu Zakir supaya tidak membiarkan dirinya digunakan sebagai “alat” oleh parti politik tempatan.

“Kita nasihatkan beliau supaya tidak dipergunakan oleh orang lain,” katanya.

Zakir merupakan pemastautin tetap di Malaysia. Status tersebut diberikan sebelum ini oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Baru-baru ini beliau diselubungi kontroversi apabila dikatakan mempersoalkan kesetian penganut agama Hindu di negara ini kepada Mahathir.

Beliau dilaporkan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada perdana menteri India Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun mereka menikmati “100 kali” lebih banyak hak berbanding orang Islam di India.

Zakir menafikan dakwaan itu, malah menuduh pengritik beliau memetik ucapannya di luar konteks.

Beliau juga didakwa berkata, orang Cina di Malaysia juga dianggap sebagai “tetamu”.

Polis akan menyoal siasat Zakir sekali lagi esok di Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, polis akan menyoal siasat Zakir berhubung dakwaan membuat kenyataan provokasi yang mencetuskan kritikan banyak pihak.