Penduduk tempatan yakin Lynas penuhi syarat kerajaan

Rata-rata penduduk tempatan menyambut baik keputusan kerajaan meluluskan lesen operasi kilang Lynas di Gebeng dengan berkata, mereka sendiri akan menentang sekiranya operasi kilang itu tidak selamat. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Penduduk Balok, di sini, yakin Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan dalam melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi itu.

Ketua Kampung Balok Mansor Mokhtar, 48, berkata ketetapan itu menyebabkan Lynas kini perlu lebih serius khususnya dalam mencari Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi residu Water Leach Purification (WLP), seperti yang disyaratkan kerajaan.

“Saya yakin Lynas boleh memenuhi syarat itu kerana sebelum ini pun, apabila ditetapkan syarat, mereka sedaya upaya mengikutnya.

“Keputusan kerajaan menyambung lesen juga baik bukan hanya untuk pekerja Lynas, tetapi juga bagi pembangunan kawasan sekitar.

“Lynas perlu menggunakan sebaik-baiknya tempoh 6 bulan ini untuk menerangkan dengan lebih jelas mengenai operasi mereka kepada orang awam, yang mungkin tidak mendapat maklumat sebenar,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Pada 15 Ogos lepas, kerajaan melanjutkan lesen operasi Lynas, yang sepatutnya tamat September ini, kepada 6 bulan dengan syarat membina PDF, mengemukakan perancangan pembinaan kemudahan “cracking and leaching” dan menamatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan penggunaan semula residu WLP sebagai CondiSoil dalam bidang pertanian.

Seorang lagi penduduk Kuantan, Shaharuddin Shamsuddin, 69, menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai “memberi kelegaan” kepada 1,000 pekerja Lynas, yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat tempatan.

Katanya, berdasarkan pengalaman sendiri, operasi Lynas yang beroperasi sejak 2012 banyak memberikan limpahan ekonomi di kawaan setempat seperti penduduk, selain turut aktif melakukan tanggungjawab sosial korporat di kawasan sekitar.

“Kami amat berharap Lynas dan kerajaan negeri Pahang dapat mencapai persetujuan mengenai tapak PDF dalam tempoh disyaratkan supaya kilang itu boleh terus beroperasi,” katanya.

Bahazelan Abd Wahab, 65, yang menyokong keputusan kerajaan itu berkata, sudah pasti mereka di Balok sendiri akan terus menentang operasi Lynas jika mendapati operasinya tidak selamat kepada penduduk berhampiran.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak pernah mendengar ada penduduk yang sakit disebabkan operasi kilang itu sejak ia mula beroperasi 7 tahun lalu.

“Kami bukan penduduk kampung yang langsung tidak faham dengan operasi kilang itu. Ramai juga di antara kami yang terdiri daripada golongan terpelajar.

“Malah, kami sendiri mendengar banyak penerangan oleh mereka yang terpelajar dalam hal ini dan semuanya mengatakan operasi Lynas dijalankan mengikut peraturan dan selamat,” katanya.