Singapura teroka prinsip, kaedah pengajaran baru untuk kolej Islam

Gambar AFP.

SINGAPURA: Singapura sedang meneroka pendekatan dan pedagogi baru dalam pengajaran dan pembelajaran Islam bagi membantu dan mencorak model untuk kolej Islamnya sendiri.

Ini dinyatakan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan sempena Rapat Hari Kebangsaan 2019 yang berlintas langsung di ITE College Central hari ini.

Katanya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melancarkan sijil lepasan ijazah dalam bidang Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) tahun depan.

“Kursus ini bagi siswazah agama di luar negara apabila mereka pulang ke sini. Ini supaya mereka dilatih untuk mereka menerapkan apa yang mereka pelajari dalam konteks Singapura.

“Kami juga berharap untuk meneroka pendekatan dan pedagogi baru dalam pengajaran dan pembelajaran Islam. Ini akan membantu dalam mencorak model untuk kolej Islam kita sendiri yang bakal melatih generasi asatizah yang baru di Singapura,” katanya dalam bahasa Melayu.

Menurutnya, Singapura mahu golongan asatizah yang bermutu tinggi dan menjadi pemimpin yang berkeyakinan pada masa depan.

Katanya, satu jawatankuasa bagi mengkaji cara-cara meningkatkan profesionalisme asatizah juga telah dibentuk dan diketuai Menteri Negara Kanan, Mohamad Maliki Osman.

“Ia sebagai lanjutan daripada Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Saya nanti-nantikan saranan mereka,” katanya.

Dilaporkan pada Februari bahawa bilangan guru agama Islam yang diakreditasi bawah skim kebangsaan di Singapura meningkat kepada lebih 4,000 daripada 3,000 pada 2017.

ARS, yang menjadi wajib mulai 2017, memerlukan guru agama untuk mematuhi kod etika yang termasuk tidak menggalakkan ekstremisme atau keganasan, atau tidak membantah kumpulan kaum dan agama yang lain.