Status PR Zakir diberi ketika Muhyiddin TPM, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan status pemastautin tetap diberikan kepada Dr Zakir Naik ketika Muhyiddin Yassin menggalas jawatan timbalan perdana menteri.

Zahid, yang menggalas portfolio menteri dalam negeri dari 2013 hingga 2018 berkata, keputusan memberikan status pemastautin tetap kepada Naik dibuat pada 2015, selepas permohonan dibuat sebelum itu lagi.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Petaling Jaya hari ini, dan ditanya adakah Muhyiddin, kini presiden PPBM, bersama kerajaan ketika itu.

Mengenai seruan mengusir Naik susulan kenyataannya yang menyentuh penganut Hindu dan orang Cina tempatan, Zahid menyeru parti-parti Pakatan Harapan menghormati pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam isu itu.

“Keputusan yang cukup jelas untuk menjawab dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dalam PH,” katanya.

Beliau juga menafikan Umno dan PAS menggunakan penceramah dari India itu untuk kepentingan politik.

Mahathir sebelum ini berkata, kerajaan boleh menarik balik status pemastautin tetap Naik jika dia didapati mengganggu-gugat negara.

Naik mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Anda tahu ada orang gelar saya tetamu. Jadi saya kata, sebelum saya, Orang Cina ialah tetamu. Jika anda mahu tetamu baru pulang, suruh tetamu lama pulang,” katanya dipetik Malaysiakini dalam satu ceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu.