Umno akan usul pecat speaker Selangor, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Umno akan membawa usul supaya Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dipecat yang didakwa menangguhkan sidang mesyuarat sebelum Menteri Besar Amirudin Shari boleh membentangkan rang undang-undang meminda enakmen bagi membolehkan penukaran agama anak secara sebelah pihak.

Presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata Ng nampaknya tidak menghormati hal ehwal Islam terletak dalam kuasa Sultan Selangor selaku ketua agama negeri.

“Persidangan yang panjang ditamatkan dalam tempoh 2 hari. Kerana apa? Sebab ada RUU yang sepatutnya dibaca menteri besar. Bukan ke kurang ajar?” katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat Umno Petaling Jaya hari ini.

Zahid memberikan tugas mengerakkan pemecatan Ng kepada Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail.

“Saya beri kuasa sepenuhnya untuk membawa usul bahawa speaker mesti dipecat,” katanya.

Cadangan pindaan itu dikatakan menemui jalan buntu apabila Ng menangguhkan sidang DNS pada 31 Julai lalu, selepas 2 hari bersidang.

Sebelum ini, Ng menafikan sidang DNS ditangguhkan awal kerana tidak berpuas hati dengan RUU itu. Beliau berkata RUU tersebut tidak pernah dimasukkan dalam aturan mesyuarat.

Kaji kekuatan di Kimanis

Pada sidang media selepas majlis, Zahid berkata Umno akan menjalankan beberapa analisis bagi melihat kekuatan parti di Parlimen Kimanis bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil.

Anifah, yang memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional, meninggalkan Umno pada September tahun lalu.

“Kita akan meneliti sejauh mana kekuatan Umno di Kimanis itu kerana pemangku ketua bahagian, Mohamad Al-Amin merupakan tokoh tempatan yang selama ini membantu Anifah menyusun jentera Umno dan Barisan Nasional dan memenangkan Anifah,” katanya.

Zahid berkata walaupun majoriti kemenangan BN sebelum ini kurang daripada 200 undi, ia adalah kemenangan mutlak.

“Umno dan Barisan Nasional akan membuat keputusan sama ada mahu meletakkan calon atau tidak selepas data-data dianalisis. Kita akan umumkan bila sampai waktunya,” katanya.