Zakir Naik nampaknya mahu terlibat politik negara, kata PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tindak-tanduk dan kata-kata penceramah dari India, Dr Zakir Naik nampak seperti dia mahu melibatkan diri dalam politik negara.

Beliau berkata kenyataan-kenyataan Naik jelas membangkitkan rasa perkauman dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, bagi saya, ianya sangat bahaya. Saya fikir, beliau patut disiasat. Segala apa tindakan yang diambil akan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya pada sidang media di satu kongres antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir menegaskan penceramah agama asing dialu-alukan berceramah, tetapi tidak patut mencampuri politik.

Beliau berkata kerajaan Malaysia juga sentiasa berhati-hati dalam kenyataannya, memikirkan sensitiviti pelbagai kaum di sini.

“Saya tak pernah sebut ‘Cina balik China’ atau suruh Melayu kata kepada Cina, suruh mereka balik,” katanya.

Naik mencetuskan kontroversi dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Mahathir walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Anda tahu ada orang gelar saya tetamu. Jadi saya kata, sebelum saya, Orang Cina ialah tetamu. Jika anda mahu tetamu baru pulang, suruh tetamu lama pulang,” katanya dipetik Malaysiakini dalam satu ceramah di Kelantan pada 8 Ogos lalu.