Ada asas Zakir Naik tidak dapat perbicaraan adil, kata ketua badan minoriti kerajaan India

Zafarul-Islam Khan, pengerusi Suruhanjaya Minoriti Delhi, berkata kerajaan BJP bawah Modi memburu pengkritiknya termasuk Zakir Naik.

PETALING JAYA: Pengerusi sebuah suruhanjaya kerajaan mewakili kumpulan minoriti India berkata walaupun beliau bersetuju ucapan Dr Zakir Naik boleh menyinggung penganut Hindu malah mempersoalkan kewajaran kaedah dakwahnya, kebimbangan pendakwah itu terhadap perbicaraan tidak adil di bawah kerajaan Narendra Modi adalah berasas.

Zafarul-Islam Khan, pengerusi Suruhanjaya Minoriti Delhi yang ditubuhkan kerajaan persekutuan India bagi melindungi hak orang bukan Hindu di wilayah Delhi, juga percaya dakwaan pengubahan wang haram terhadap Naik merupakan sebahagian daripada kempen didalangi kumpulan pelampau Hindu untuk mengunci mulut penceramah itu.

“Kumpulan-kumpulan Hindutva meraih kuasa tidak terkekang sejak Modi memerintah pada Mei 2014. Mereka menyalahgunakan kuasa itu terhadap pihak lawan, sama ada betul-betul wujud atau rekaan semata-mata,” kata Khan, yang merupakan anak salah seorang sarjana Islam terulung di India, merujuk kumpulan haluan kanan Hindu.

Bapa beliau adalah Wahiduddin Khan, yang mengamalkan falsafah penentangan tanpa keganasan ala Mahatma Gandhi dan juga dianugerakan Padma Bhushan, pingat kebangsaan ketiga tertinggi India untuk orang awam.

Wahiduddin pernah mengkritik kaedah dakwah Naik, iaitu pandangan yang turut dikongsi Khan.

Bagaimanapun, Khan berkata penceramah itu tidak boleh dituduh mencaci kepercayaan lain terutamanya agama Hindu, seperti yang didakwa beberapa pihak.

“Naik mungkin adakalanya kasar dan menyakitkan hati tetapi dia tidak mencaci agama-agama lain,” kata Khan.

“Dia patut lebih berhati-hati. Dia pernah mengadakan persidangan terbuka di padang dan stadium dengan disiarkan di televisyen, di mana pemimpin Hindu diundang dan pandangan mereka ‘dimalukan’. Mereka lebih tersinggung apabila di akhir ceramahnya, ada orang Hindu yang bangun untuk mengisytiharkan masuk Islam.

“Ini menyinggung perasaan orang Hindu,” tambahnya.

Polis Malaysia sedang menyiasat Zakir Naik atas tuduhan menghasut sentimen perkauman.

Naik disiasat pihak berkuasa Malaysia susulan ucapan-ucapan yang mengkritik masyarakat bukan Islam di sini. Beliau dilapor menggambarkan rakyat berketurunan Cina sebagai “tetamu” ketika menjawab desakan supaya beliau diserahkan kepada pihak berkuasa India.

Naik nafi meniupkan sentimen perkauman, mengatakan dia sebenarnya mangsa kempen memburuk-burukkannya oleh penyokong Modi.

Beliau sebelum ini berkata tidak akan pulang ke India kerana percaya kerajaan BJP tidak boleh menjaminnya perbicaraan adil bagi tuduhan pengubahan wang haram.

Khan mendapati Naik terlalu lurus dalam mempercayai kebebasan di India, malah “benar-benar percaya pada jaminan-jaminan kebebasan bersuara serta kebebasan untuk mengamalkan dan menyebarkan sebarang kepercayaan yang termaktub dalam perlembagaan”.

“Hakikatnya, hak-hak itu hanyalah atas kertas. Sebarang penukaran agama daripada Hindu kepada agama lain dianggap sebagai ancaman terhadap penganut Hindu dan negara,” tambahnya.

Beliau berkata ini diburukkan lagi oleh dwistandard pemerintah sekarang yang menuduh orang-orang tertentu mengancam keharmonian masyarakat.

“Selain itu, sudah banyak kali militan Hindu bertindak sesuka hati untuk menguatkuasakan dasar Hindutva, yang diakui RSS secara pura-pura dan disokong oleh sayap politiknya BJP yang sekarang memerintah India. Kerajaan sengaja mengabaikan hal itu,” katanya.

RSS yang dirujuk Khan ialah Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), pertubuhan haluan hanan yang ada kaitan dengan parti BJP dan dipertanggungjawabkan atas beberapa rusuhan agama.

Bagi Khan, Naik tidak boleh dianggap sebahagian daripada sarjana Islam di India.

“Dia berpengaruh dan ada pengikut yang ramai kerana debat-debat televisyen dan penampilan dalam Peace TV, tetapi dia bukanlah seorang sarjana,” katanya.

Beliau berkata Naik cuba mengikut pendekatan pendakwah Afrika Selatan, Ahmad Deedat, yang terkenal dengan perdebatannya bersama agamawan Kristian pada awal 1980-an.

Walaupun Khan tidak berpuas hati dengan pendekatan Naik menyebarkan Islam, beliau percaya penceramah itu tidak akan dapat keadilan dalam “keadaan-keadaan sekarang dengan adanya pemburuan terhadap pihak lawan dan kempen rasmi menanam perasaan benci”.

“Ia benar berlaku. Badan kehakiman India agak terjejas bawah kerajaan yang memaksakan keputusannya,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks Naik, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad betul dalam kritikannya terhadap badan kehakiman India.

“Saya fikir apa yang dilakukan Malaysia adalah betul. Naik tidak akan dapat keadilan di bawah sistem India sekarang.”