Angkatan tentera seperti polisi insurans, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata, angkatan tentera membantu mengekalkan keamanan selama ini.

SUBANG JAYA: Timbalan Menteri Pertahanan Liew Ching Tong hari ini berkata, rakyat Malaysia perlu memahami peranan angkatan tentera susulan cadangan kontroversi supaya tenaga anggotanya disalurkan bagi membantu kerja di ladang dan projek komuniti.

“Peranan tentera (sebagai pilihan terakhir) adalah bersiap sedia untuk berperang bagi mempertahankn keamanan. Itu peranan utamanya,” Liew memberitahu pemerita bersempena satu forum di Universiti Sunway di sini.

“Ia seumpama polisi insurans. (Seperti ketika) anda beli polisi insurans bagi melindungi rumah anda.”

“Oleh sebab kita menikmati tempoh keamanan yang panjang selama 30 tahun sejak 1989, kita rasa tidak perlukan angkatan tentera. Hakikatnya mereka menjaga keamanan itu (sejak 1989),” katanya, merujuk kepada perjanjian damai yang ditandatangani oleh kerajaan dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Ini berikutan dakwaan oleh seorang ahli perniagaan dari Perak, Koon Yew Yin, yang baru-baru ini menulis di laman blognya tentang cadangan penambahbaikan perkhidmatan awam negara.

Beliau berkata, anggota pasukan keselamatan “tidak berbuat apa-apa melainkan makan dan tidur”.

“Malah kebanyakan mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak sasaran latihan. Sebahagian mereka patut menggantikan pekerja asing di ladang Felda,” katanya minggu lepas.

Koon kemudianya menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf.

Liew berkata, kerajaan komited untuk menyediakan satu Kertas Putih bagi merangka garis panduan hala tuju dan strategi yang akan diguna pakai oleh tentera, yang akan membantu menghapuskan cakap-cakap sedemikian terhadap tentera.

“Kertas Putih pertahanan akan berperanan sebagai platform, jadi kita akhirnya akan ada konsensus dan persetujuan (tentang peranan dan tanggungjawab agensi yang ditugaskan untuk menjamin keselamatan negara),” katanya.

Beliau berkata, Kertas Putih itu juga akan menggariskan keperluan dana dan kakitangan bagi membolehkan angkatan tentera menjalankan tanggungjawab mereka.

Ketika ditanya sama ada kerajaan mahu memastikan wujudnya komposisi anggota tentera yang lebih merata berbanding majoriti Melayu hari ini, Liew berkata, perkara lebih penting kini ialah menjamin anggotanya dilayan lebih baik dan mempunyai hala tuju yang jelas terlebih dahulu.

“Apabila perjalanan sesebuah nstitusi itu baik, barulah anda boleh bercakap tentang isu lain. Akhirnya, apabila sesebuah institusi berjalan baik, anda tak perlu bimbang tentang isu itu (kaum).”

Beberapa cadangan dalam Kertas Putih pertahanan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober.

Terdahulu Liew menyampaikan ucapan bertajuk “Beyond 2020: Fresh Views, New Visions,” pada satu forum yang dianjurkan oleh Institut Jeffery Cheah mengenai Asia Tenggara dan badan pemikir, The Change.

Turut hadir ialah Nurul Izzah Anwar dari PKR dan ahli Parlimen Rembaui serta pengasas The Change, Khairy Jamaluddin.