DAP bukan ‘kingmaker’, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menafikan parti itu adalah “kingmaker” seperti yang didakwa bekas perdana menteri Najib Razak.

Lim berkata dakwaan itu jelas terbukti apabila DAP gagal meyakinkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya menutup kilang pemprosesan nadir bumi itu di Gebeng.

“Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa DAP merupakan ‘kingmaker’ dalam Pakatan Harapan (PH), di mana menteri DAP yang dilantik menyebabkan peningkatan dalam ketegangan dalam kalangan orang Melayu.

“Penipuan sebegini daripada Najib serta-merta didedahkan apabila DAP tidak berjaya meyakinkan perdana menteri menutup kilang memproses nadir bumi Lynas.

“Tetapi (DAP) akan terus berusaha meyakinkan perdana menteri untuk memahami keresahan tulen yang dinyatakan pejuang alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Najib mendakwa DAP merupakan “kingmaker” selepas PH berjaya merampas kerajaan dari Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, sebelum PRU14, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan penguasaan PH di Putrajaya dapat dicapai melalui rampasan 10 hingga 15% daripada undi Umno.

Najib berkata maklumat tersebut diperolehi daripada pemimpin yang dahulunya pernah bersama Mahathir ketika menentang Umno, dan kini pemimpin yang tidak dinamakan itu merupakan salah seorang teman rapatnya.

Minggu lalu, Putrajaya mengumumkan lesen operasi Lynas dilanjutkan, tetapi tempoh itu dipendekkan kepada 6 bulan berbanding kebiasaan 3 tahun.

Lesen operasi Lynas akan tamat pada 2 September ini dan kilangnya di Gebeng, Pahang menjadi punca kontroversi sejak 2012 disebabkan pelupusan sisa radioaktif tahap rendah, dengan kumpulan pencinta alam sekitar, ahli politik PH dan masyarakat setempat mengadakan bantahan atas alasan kesihatan.