Forum: Syarikat kabur tentang Revolusi Industri 4.0

Ahli panel forum bertajuk ‘Driving Skills Development For A Future-Ready Workforce in Malaysia’ yang berlangsung di George Town hari ini.

GEORGE TOWN: Perjalanan Malaysia menuju Revolusi Industri 4.0 atau IR 4.0 terhalang oleh kurangnya pendedahan, selain kesediaan maklumat mengenai inisatif usaha transformasi sektor pembuatan melalui penggunaan teknologi terkini, seorang pakar latihan industri memberitahu satu forum hari ini.

Muhamed Ali Hajah Maidin yang mengetuai Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) berkata, banyak syarikat belum memanfaatkan dana RM2 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi mencapai IR 4.0.

“Tidak ada maklumat yang berstruktur, misalnya jika sebuah syarikat memerlukan pinjaman mudah untuk menaik taraf kepada IR 4.0. Mereka perlu buat apa? Tidak ada saluran khusus untuk mereka bertanya tentangnya.

“Sekarang kita akan memasuki belanjawan berikutnya. Kita perlu menyegerakan perkara ini bagi menggerakkan negara ke hadapan dalam perlumbaan teknologi,” Ali memberitahu forum bertajuk “Driving Skills Development For A Future-Ready Workforce in Malaysia” di PSDC di sini.

Ali berkata, antara 15% ke 20% syarikat Malaysia telah mengorak langkah ke arah IR 4.0 kerana mereka terpaksa berbuat demikian.

“Mereka kini berurusan dengan syarikat Koridor Raya Multimedia Aras 1. Mereka terpaksa membuat penyesuaian kerana tidak ada pilihan. Sementara itu, (syarikat) yang lain terus keliru dan tiada pedoman,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Mengenai Kebangsaan Industri 4.0 atau Industry4WRD tahun lepas bagi membantu syarikat berpindah ke IR 4.0 secara sistematik dan menyeluruh.

Dalam pada itu, peserta forum Foong Lai Lyn berkata, kekeliruan yang berlaku kini berkemungkinan besar disebabkan jumlah agensi yang mengepalai IR 4.0.

Beliau mencadangkan supaya diwujudkan agensi tunggal yang mengurus IR 4.0 bagi menjamin peralihan yang lancar.

“Pada masa ini, ia berserabut dan kewujudan agensi sedemikian yang mengurus syarikat terbabit akan menyumbang kepada kemajuan kita,” katanya.

Presiden Persatuan Industri 4.0 Malaysia Raja Teagarajan berkata, kerajaan telah menetapkan indeks pencapaian utama bagi membantu sekurang-kurangya 500 syarikat beralih ke IR 4.0, tetapi setakat ini hanya mencapai 90 syarikat.

“Kita ada kira-kira 500,000 syarikat yang kebanyakannya kecil dan sederhana (SME). Kita perlu mencari jalan untuk mengembangkan jaringan itu,” katanya.

Ahli perniagaan Singapura James Boey berkata, masalah tersebut tidak hanya berlaku di Malaysia.

Beliau berkata, kebanyakan SME dan syarikat berada di peringkat awal IR 4.0 dan belum melangkah ke fasa berikutnya.

“Banyak syarikat telah bermula, tetapi terus tersangkut di tahap perintis. Kadang-kadang, faktor kos juga menghalang banyak pihak daripada mengambil langkah peralihan ke IR 4.0,” katanya.